Sabtu, 31 Disember 2011

Bangkit tuntut dakwa Jamil Khir pecah amanah

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Umat Islam mesti bangkit beramai-ramai menuntut pendakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom kerana pecah amanah wang zakat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Persoalan terbesar di sini ialah jenayah pecah amanah wang zakat apabila Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya menggunakan wang itu untuk kos guaman kes qazaf (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Perbuatan pecah amanah wang zakat tidak boleh ditutup walaupun di bayar balik kerana pecah amanah telah pun berlaku," katanya.

Persoalan kedua, kata Mahfuz, ialah pembohongan Jamil Khir apabila tanpa sebarang rasa malu sedikit pun beliau membohongi rakyat dan mendakwa "mana mungkin saya hendak menggunakan duit zakat untuk tujuan guaman".

"Dakwaan Jamil Khir itu menghina Ketua Audit Negara yang membuat laporan bahawa wang zakat telah digunakan untuk membayar kos guaman tersebut.

"Menghina Ketua Audit Negara bermakna menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Ketua Audit Negara dilantik oleh baginda," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, menteri itu melakukan dua kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Selain menghina Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Jamil Khir sebelum itu telah melakukan jenayah pecah amanah wang zakat dan institusi zakat yang terlibat itu berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Sebagai anak Kedah, kata Mahfuz, beliau tidak mahu Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong tercalar imejnya kerana jenayah pecah amanah wang zakat yang dilakukan oleh menteri berkenaan dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara yang juga dilakukan oleh menteri berkenaan.

"Mereka yang terlibat melakukan pecah amanah wang zakat itu mestilah didakwa dan jawatan mereka hendaklah digantung sepanjang proses pendakwaan itu dan jika mereka didapati bersalah mereka mestilah dihukum selain dipecat dari jawatan mereka," tegas beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengesahkan pecah amanah wang zakat berjumlah RM63,650 dilakukan oleh Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya bagi menghalang kes qazaf yang di failkan oleh Anwar.

Wang zakat itu disalahgunakan untuk pembayaran kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil Khir, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Tiada ulasan: