Rabu, 30 November 2011

Mahkamah: Suara Keadilan siar perkataan fitnah Zambry


MALAYSIA KINI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati sembilan perkataan dalam satu artikel yang disiarkan oleh "Suara Keadilan", akhbar PKR, mengenai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir membawa maksud fitnah.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan demikian dalam kamar hari ini dengan dihadiri peguam Datuk Firoz Hussein Ahamd Jamaluddin yang mewakili Zambry selaku plaintif, dan peguam Jamie Wong yang mewakili PKR, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga pihak lain.

Pada 22 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan tiga perkataan lain dalam artikel yang sama turut membawa maksud fitnah selepas defendan mengakui bahawa perkataan-perkataan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.

Firoz Hussein yang ditemui pemberita, berkata mahkamah memutuskan supaya taksiran gantirugi dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, namun tiada tarikh ditetapkan.

Pada 25 Februari tahun lepas, Zambry memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009-5 Januari 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Katanya, beliau tidak dihalang dari memasuki Amerika Syarikat, malah dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai menteri besar Perak.

Zambry berkata lawatannya ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media, dan defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Menteri besar Perak itu berkata, perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Beliau menuntut gantirugi RM100 juta, termasuk gantirugi teruk dan gantirugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.

Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk "Mohon Maaf Dr Zambry" dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac-6 April 2010.- Bernama

Tiada ulasan: