Isnin, 28 November 2011

Konsesi: Guan Eng cabar Nor Yakcop berdebat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka berhubung lanjutan konsesi jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) selama 11 tahun sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan kadar tol selama 5 tahun di lima lebuh raya termasuk lebuh raya utara-selatan (NSE) akan membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang mahupun Malaysia.

Lim berkata, New Straits Times hari ini telah melaporkan bahawa Tan Sri Nor telah mengecam beliau kerana mengamalkan double standard dalam bantahannya terhadap semakan semula perjanjian tol.

“Saya tidak dapat melihat bagaimana semakan semula yang menangguhkan kenaikan tol selama 5 tahun sehingga 2016 ini dapat membawa manfaat kepada rakyat.

“Tambahan pula, saya tidak faham bagaimana saya boleh dikatakan sebagai mengamalkan double standard apabila saya mengambil pendirian yang berprinsip untuk membantah syarikat-syarikat pengendali tol yang selama ini meraut keuntungan yang besar daripada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, semakan semula terma konsesi seperti di atas bukanlah satu keadaan “menang-menang” bagi kerajaan, pengendali tol dan juga rakyat tetapi satu kemenangan yang besar bagi syarikat-syarikat pengendali tol sahaja.

Katanya, Rakyat Pulau Pinang akan menerima hukuman yang tidak adil sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan kadar tol selama 5 tahun bagi Jambatan Pulau Pinang, NSE, BKE, Linkedua dan Elite.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan menambah, rakyat Pulau Pinang sekarang dihukum dengan lanjutan tol selama 17 tahun untuk Jambatan Pulau Pinang, iaitu sampai 31 Disember 2038 dan bukan tarikh luput asal 31 Disember 2021.

Bagi BKE pula, katanya tempoh tol ditambah 11 tahun kepada 31 Disember 2038 daripada tarikh luput asal 27 Jun 2026.

Ini, ujarnya telah dilakukan supaya kadar tol untuk 5 lebuh raya di atas akan dibeku selama 5 tahun, tambahan pula, tidak ada lanjutan tempoh tol bagi NSE atau Linkedua.

“Yang paling tidak adil dan tidak berhati nurani, adalah hakikat bahawa syarikat-syarikat pengendali tol sudah pun meraut keuntungan yang besar di mana kos pelaburan asal pun sudah selesai dikutip,” katanya.

Menurutnya, jawapan bertulis Parlimen mengenai hasil yang telah dikutip syarikat-syarikat pengendali tol sehingga 31 Disember 2010 telah menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol NSE telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan lebuhraya tersebut, manakala telah menerima sebanyak RM24,266 juta daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan dalam jangka masa yang dinyatakan.

Dalam erti kata lain, katanya syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31 Disember 2010 daripada pelaburan asal.

“Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol?” soalnya.

Katanya, sepatutnya dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta sedangkan hasil kutipannya sudah pun 3 kali ganda pelaburan asal.

Beliau berkata, keadaannya serupa untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip sebanyak RM1,859 juta dengan kos pembinaan RM944 juta, lebihan yang dicatat sebanyak RM924 juta.

Tambahnya, bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta.

Jelasnya, rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

Namun demikian, kata Tan Sri Nor mendakwa bahawa semakan semula perjanjian tol itu membawa manfaat kepada rakyat melalui pembekuan kenaikan kadar tol, sedangkan kenaikan kadar tol itu sebenarnyamenyamar di sebalik lanjutan tempoh tol.

Kesannya, kata beliau mungkin tidak dirasai sekarang, tetapi kesakitannya akan berlanjutan selama 17 tahun bagi Jambatan Pulau Pinang dan 11 tahun bagi BKE.

“Jika Tan Sri Nor betul-betul yakin bahawa semakan semula perjanjian ini membawa manfaat kepada rakyat, beliau patut berdebat dengan saya supaya rakyat dapat memahami bagaimana semakan semula perjanjian ini akan membawa manfaat kepada mereka dan bukan kepada syarikat-syarikat pengendali tol,” ujarnya.

Tiada ulasan: