Rabu, 30 November 2011

Kenapa tak dinamakan RUU Rosma?

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dipenuhi gelak ketawa sinis ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, apabila dibangkitkan persoalan misteri kenapa tidak dibentangkan saja undang-undang yang dinamakan "Rang Undang-undang Rosma".

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, rang undang-undang yang dibentangkan hari ini agak ganjil apabila rang undang-undang itu dinamakan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012.

"Kenapa tak dinamakan rang undang-undang lain yang lebih sesuai? Contohnya "Rang Undang-undang Perumahan Rakyat" ke kerana itu lebih sesuai.

"Atau kenapa juga tak dinamakan rang undang-undang lain, contohnya ringkasnya "Rosma" ke?" katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kesal kerana rang undang-undang yang ganjil seperti itu turut dibentangkan dan diguna pakai di negara ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau (PKR), Mohd Yusmadi Mohd Yusoff ketika bangun mencelah berkata, penggunaan perkataan 1Malaysia pasti mempunyai agenda tertentu dari Kerajaan BN kerana ia menyamai penggunaan slogan 1Israel oleh Isreal.

Katanya, persamaan itu amat ketara apabila Kerajaan BN telah memperkenalkan Klinik 1Malaysia, manakala Isreal juga sebelum ini telah memperkenalkan 1Isreal dalam perubatan.

"Saya tak kata apa yang dibuat oleh Kerajaan BN ini sengaja. Bukan sengaja, tapi kebetulan," katanya.

Manakala Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula ketika bangun mencelah amat kesal dengan tindakan Kerajaan BN yang memperkenalkan Rang Undang-undang Perumahan 1Malaysia kerana perkataan 1Malaysia adalah slogan politik BN.

"1Malaysia itu slogan politik, tapi kini jadi satu undang-undang. Ini merupakan satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Tiada ulasan: