Isnin, 28 November 2011

Bersih 3.0 wajar diadakan segera

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN) mewakili lebih daripada 20 Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) kaum India merasa terpanggil untuk meneruskan momentum perubahan yang semakin terasa rentetan daripada kejayaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Menurut sekretariat itu, Barathidasan Saminathan, beberapa tindakan pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri dilihat begitu terdesak untuk melaksanakan perubahan demi menjaga survival pemerintahan Barisan Nasional.

“Perkembangan positif ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi membolehkan lebih banyak perubahan dilakukan oleh pihak kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, WargaAMAN percaya sekiranya gerakan menuntut pilihanraya bersih dan adil diteruskan dengan pembawaan yang konsisten, peluang untuk 8 tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan adalah sangat besar.

“Oleh itu, WargaAMAN menuntut supaya satu lagi perhimpunan Bersih 3.0 diadakan segera untuk menjamin peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya,” katanya.

Tambahnya, objektif sebenar cadangan Bersih 3.0 ialah untuk meneruskan momentum Bersih 2.0 yang telah berlangsung pada 9 Julai dalam menuntut pembaikpulihan sistem pilihan raya bagi mewujudkan sebuah sistem yang lebih bersih dan adil.

Beliau juga memberi respons terhadap Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Oktober lalu.

Katanya, PSC tersebut dilihat sebagai alat untuk meredakan tuntutan Bersih dan mengalihkan rakyat daripada memberi fokus terhadap tuntuntan pilihan raya bersih dan adil.

Tiada ulasan: