Isnin, 28 November 2011

AMK gerakkan demo sebelum Anwar dipenjara

Oleh: Masdar Wahid




KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulangi bahawa sayap pemuda itu akan menggerakkan demonstrasi seluruh negara sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Keadilan Daily, Shamsul berkata, demonstrasi berkenaan akan digerakkan bermula pada pelancaran jentera Pakatan Rakyat di Shah Alam pada 4 Disember ini.

“Buat permulaan kita mengadakan ‘warm-up’ di Shah Alam, 4 Disember ini sebelum demo diadakan di seluruh negara sebagai bantahan terhadap fitnah yang ditujukan kepada Anwar,” katanya.

Jumaat lalu, Shamsul menyuarakan amaran berkenaan semasa Kongres Angkatan Muda KEADILAN yang berlangsung di Pulai, Johor.

Ia berikutan Anwar dijangka dijatuhi hukuman dalam masa terdekat, selepas mahkamah bersidang pada 8 Disember bagi mendengar hujah akhir peguam dan pendakwaraya.

Sebab itu, kata Shamsul, Barisan Nasional tergesa-gesa membentangkan Rang Undang Undang (RUU) Perhimpunan Aman bagi menghalang rakyat membantah keputusan memenjarakan Anwar.

Sekiranya Anwar dipenjara, tegas Shamsul, Malaysia akan kehilangan seorang pemimpin penting yang konsisten memperjuangkan reformasi di negara ini.

“Mereka (Umno) serang Anwar dengan fitnah kerana gagal menyaingi karisma beliau dan buktinya, Najib sehingga kini takut berdebat dengan Ketua Umum walaupun Najib yang mulakan cabaran debat Buku Jingga pada Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, AMK juga sedang merancang untuk berdemo bagi membantah Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman yang bakal diluluskan kerajaan.

“Lulus atau tidak akta itu, soal lain kerana jika tidak lulus pun, akhirnya ia akan dilaksana juga kerana pentadbiran Datuk Najib terkenal dengan flip-flopnya,” katanya sinis.

Tiada ulasan: