Isnin, 28 November 2011

Agenda racis Muhyiddin dan Umno - Guan Eng

Lim Guan Eng


Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan agenda perkauman UMNO dan kenyataannya bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang. Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan. Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol.

DAP bukan ancaman kepada orang Melayu. Hanya UMNO yang menjadi ancaman bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan serta mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, UMNO mengkaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit, seperti:

Pendedahan terkini Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan; dan

Kontroversi di mana dana awam yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang berkaitan dengan seorang Menteri telah digunakan bukan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya telah digunakan untuk pembelian dua kondominium mewah.

Selama ini UMNO telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka. Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuhraya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu.

Dalam politik pula, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu. Semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri juga Melayu kecuali di Pulau Pinang. Tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana Perdana Menteri Malaysia seharusnya berbangsa Melayu. Oleh itu, ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu sahaja untuk menjadi Perdana Menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua.

Jawatan politik tertinggi yang boleh disandang bukan Melayu sekarang adalah setakat Menteri Persekutuan dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Malah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, satu-satunya jawatan yang dipegang bukan Melayu, mungkin akan jatuh ke tangan UMNO kerana UMNO bertanding kerusi yang paling banyak di kalangan parti-parti komponen BN di Pulau Pinang. Daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, UMNO bertanding 15, Gerakan 13, MCA 10 dan MIC 2. Kalau BN membentukkan kerajaan dan selagi UMNO bertanding kerusi yang paling banyak, mana-mana Ketua Menteri BN akan menjadi boneka UMNO sampailah seorang calon UMNO menjadi Ketua Menteri.

Walaupun masyarakat Melayu mempunyai kawalan yang hebat dalam sektor-sektor politik, awam dan swasta, DAP tidak pernah pun menggunakan isu-isu itu untuk menakutkan rakyat bukan Melayu. DAP tidak pernah berlaku begitu kerana kita menganggap semua orang Melayu mempunyai hak dan peluang yang sama dengan rakyat Malaysia yang lain dalam sektor-sektor tersebut. Ini jelas dibuktikan apabila 70% daripada kontrak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dimenangi oleh kontrak Melayu, lantas membuktikan bahawa kontraktor Melayu mampu berdaya saing. Hanya kontraktor kroni UMNO sahaja yang tidak mampu bersaing.

Tambahan pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik penjawat-penjawat awam yang tertinggi berdasarkan kebolehan mereka. Secara kebetulan mereka juga Melayu, dan ini termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga YDP-YDP kedua-dua Majlis Perbandaran di Pulau Pinang dan Seberang Perai (yang juga merupakan YDP-YDP wanita yang pertama dilantik).

Sudah tiba masa untuk menolak dasar perkauman UMNO. Orang Melayu tidak lemah dan tidak perlu kepada parti yang rasuah dan rasis seperti UMNO untuk mempertahankan mereka. Sudah tiba masa untuk kita bersatu atas dasar-dasar bersama seperti keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan awam dan demokrasi.

UMNO sudah pun melenyapkan masa depan generasi saya selama 50 tahun. Kita tidak boleh membenarkan UMNO untuk mencuri masa depan anak-anak kita. Hanya sebuah kerajaan berjiwa rakyat di bawah kerangka Malaysia yang ditawarkan Pakatan Rakyat boleh menjamin masa depan yang terang untuk anak-anak kita.

Lim Guan Eng ialah Mentri Besar Penang

Tiada ulasan: