Sabtu, 29 Oktober 2011

Tee Keat nafi sertai Pakatan


KUALA LUMPUR — Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau akan menyertai DAP atau PKR sambil menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai “nakal dan tidak beretika.”

Laporan-laporan media siber mendakwa Ong telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok secara berasingan awal minggu ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, “perkara ini tidak berlaku, sebaliknya jika ada sudah pasti anda sudah melaporkannya.”

Sambil mengesahkan beliau ada menerima tawaran daripada parti-parti lain, bekas menteri pengangkutan ini menambah, “ia bukan sesuatu yang baru bagi saya dan sudah berlaku, sejak beberapa tahun lalu.”

“Tetapi saya berhenti di sana (setakat tawaran) dan ia adalah aliran air di bawah jambatan,” kata beliau lagi.

Spekulasi kononnya Ong (gambar) akan meninggalkan MCA muncul semula Februari lalu apabila beliau bertekad menegaskan akan mempertahankan kerusi Panda meskipun digugurkan oleh parti.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menewaskannya dalam pemilihan semula parti 19 bulan lalu telah meminta Ong agar meninggalkan MCA selepas beliau mengkritik komponen Barisan Nasional itu sebagai tidak relevan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari menjelang perhimpunan agung tahunan MCA baru-baru ini.

Hari ini, Ong memberitahu pemberita bahawa beliau tidak membincangkan sebarang pelan untuk menyertai DAP ketika bertemu dengan Kok, yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika majlis makan tengah hari Selasa lalu.

Katanya, mereka hanya membincangkan isu kabel kuasa berkapasiti tinggi yang dipasang pada 2008 tetapi tidak beroperasi ekoran protes daripada 7,000 penduduk di kawasan terbabit.

Ong berkata, seorang anggota pihak berkuasa tempatan dan wakil persatuan penduduk juga hadir sama.

“Jika kami berbincang perkara sedemikian, mereka seharusnya tahu,” kata beliau yang menyalahkan pihak yang menyebarkan khabar angin dan panglima-panglima siber ekoran spekulasi sedemikian.

“Saya juga berpeluang untuk bercakap dengan pemimpin PAS termasuk anggota Exco dan Adun (Iskandar Abdul Samad) dalam bahagian saya. Saya tidak terkejut, selepas ini mereka akan menyebarkan spekulasi bahawa saya akan menyertai PAS,” katanya lagi.

Tiada ulasan: