Ahad, 30 Oktober 2011

Rais cadang internet bertanggungjawab di London

MALAYSIA KINI

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim akan mencadangkan Persidangan London mengenai Ruang Siber bermula Selasa, gagasan sesuai bagi penggunaan internet yang lebih bertanggungjawab.

Cadangan itu bukan bererti mahu menahan atau menapis maklumat yang disebarkan melalui internet, katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Sebaliknya ini bagi memastikan perlu ada sikap tanggungjawab di antara hak asasi manusia dan melindungi kepentingan awam selaras dengan undang-undang antarabangsa," belia dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional itu.

Datuk Seri Dr Rais Yatim akan menghadiri persidangan itu bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, Australia.

Persidangan London selama dua hari yang akan dihoskan oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel British William Hague, akan membabitkan dialog yang lebih fokus dan inklusif di kalangan pemain utama ruang siber dari seluruh dunia termasuk daripada kerajaan, industri dan masyarakat sivil.

Ia berobjektif untuk membangunkan persefahaman kolektif mengenai bagaimana untuk melindungi dan memelihara peluang-peluang yang banyak yang ditawarkan oleh pembangunan ruang siber.

Persidangan akan menumpukan pada lima tema: pertumbuhan ekonomi dan pembangunan; faedah sosial; jenayah siber; akses selamat dan bolehpercaya; dan keselamatan antarabangsa.

Tiada ulasan: