Sabtu, 29 Oktober 2011

Pakatan selesai masalah tanah rakyat

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: PAS dan Pakatan Rakyat memberi jaminan akan menyelesaikan segala masalah rakyat berkaitan hak milik tanah jika menguasai Putrajaya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat kini sudah sedar dan sudah ada kesatuan untuk menuntut hak mereka yang sekian lama dinafikan kerajaan Umno BN.

"Jaminan Pakatan Rakyat, hak-hak rakyat khususnya soal tanah akan diutamakan.

"Kita akan mengutamakan rakyat, bukan mengutamakan pemaju yang ada kepentingan.

"Dan PAS sudah buktikan kita selesaikan masalah tanah di Kelantan dan di Terengganu sewaktu kita memerintah dahulu," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 di kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang mengadakan konvensyen ini, Ustaz Hadi turut berkata, Islam menggariskan bahawa rakyat yang terlebih dahulu meneroka sesuatu kawasan, mereka berhak ke atas tanaah tersebut.

"Pemimpin seharusnya memudahkan urusan rakyat untuk mendapatkan tanah, bukan dengan cara merompak hak dan menghalau rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Konvensyen anjuran Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat ini bertujuan merungkai permasalahan penduduk Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain khususnya generasi keduanya berkaitan isu tanah dan perumahan.

Selain itu ia juga bagi menghimpunkan wakil-wakil mangsa dan bakal mangsa pengambilan tanah dan masalah perumahan dari Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain seluruh negara.

Segala perbincangan akan dirumuskan dalam bentuk desakan atau tawaran alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, resolusi daripada konvensyen ini akan didokumenkan dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat untuk diambil tindakan.

"Resolusi hari ini kita akan serahkan kepada Perdana Menteri dan menterii bertanggungjawab untuk selesaikan masalah tanah dan setinggan.

"Masalah ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur tapi turut berlaku di negeri-negeri lain," katanya.

Turut hadir pada konvensyen ini ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Muhammad, dan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid.

Tiada ulasan: