Isnin, 31 Oktober 2011

Nasib Orang Asli di pedalaman Kelantan terbela

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU: Sebelum ini ada pihak mendakwa masyarakat Orang Asli di Kelantan tersisih, sedangkan pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi membela nasib mereka.

Pada tahun lepas 75 keluarga masyarakat Orang Asli di Pos Sendrop menerima sijil penempatan berkelompok, di mana setiap keluarga mendapat dua ekar.

Malah sejak 1990 sehingga sekarang pemimpin masyarakat Orang Asli dilantik sebagai ahli majlis Majlis Daerah Gua Musang dan penghulu tanpa mukim.

Dan terbaru kawasan seluas 606.6 ekar di penempatan Orang Asli di Pos Jerdip akan diisytiharkan sebagai Rizab Penempatan Orang Asli, Selasa ini.

Pos tersebut terletak kira-kira 30 km dari Bandar Gua Musang, berada di lokasi strategik antara Kawasan Perancangan Pusat Pentadbiran Broke dan Bandar Peranginan Sigar.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kawasan tersebut akan dibahagikan kepada pembangunan kediaman dan kawasan lapang seluas 97 ekar, pertanian dusun dan ladang (212 ekar).

Selain itu kemudahan pusat pengumpulan, surau dan lain-lain (6 ekar), infrastruktur jalan, saliran dan pelbagai utiliti (48.5 ekar) dan pengekalan hutan (242.6 ekar).

“Penyerahan watikah pengisytiharan Pos Jedip sebagai Rizab Penempatan Orang Asli akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia Kelantan/Terengganu,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menyediakan Pusat Latihan Pertanian Belia Orang Asli di kawasan seluas 157 ekar yang bakal dibina berhampiran Pusat Pentadbiran Brooke.

Kata beliau pusat tersebut akan menyediakan tempat pertanian dan latihan.

“Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diamanahkan mengurus pusat latihan tersebut dan peringkat awal peserta program itu terdiri daripada belia Orang Asli,” ujar beliau.

Tiada ulasan: