Isnin, 31 Oktober 2011

Laporan audit petanda ikan busuk di kepala

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan masalah yang berlaku tetap sama, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

“Kita boleh andai sebelum Laporan dikeluarkan, antaranya harga kerajaan bayar beratus kali ganda daripada harga pasaran, projek tidak siap, belanja lebih,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya adalah skema yang ada kepada urus tadbir kerajaan BN selama ini, walaupun Perdana Menteri bercakap soal transformasi tetapi tidak ada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

“Kenapa pegawai kerajaan yang dituding jari?

“Adakah mereka berani lakukan jika tidak ada arahan,” soalnya.

Justeru, ujarnya adalah tidak elok kalau hendak menyalahkan pegawai kerajaan sahaja, sedangkan bapa menteri boleh tidur lena.

Menurutnya, musibah yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dalam kes tuduhan pecah amanah wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), patut diambil iktibar.

Beliau berkata, Dr Aziz terpaksa turun naik ke mahkamah sedangkan menteri tidak diapa-apakan, hanya kereta menteri sahaja yang dirampas.

“Patutlah Laporan Audit 2010 diberi lewat kepada ahli Parlimen, sehingga selepas didesak. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu,” katanya.

Tambahnya, Laporan Audit Negara telah tenggelam bajet gula-gula pilihanraya.

Menurutnya lagi, jika Laporan Audit 2010 mengekalkan rekod yang sama, apalah yang hendak diharapkan dengan Belanjawan 2012.

Baginya, pemimpin BN cuba hendak bermain silap mata, dengan kenyataan yang keras supaya diambil tindakan terhadap penyelewengan.

Inilah juga, katanya kenyataan yang dikeluarkan setiap tahun selepas laporan audit dikeluarkan untuk meredakan kemarahan rakyat.

Tambahnya lagi, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran.

“Jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer.

Katanya, ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi.

Katanya lagi, kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membayar set pen yang berharga RM1146 sedangkan harga pasaran RM60, lebihan RM986.

Begitu juga, ujarnya jek kereta harga pasaran RM50, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM1,664, lebihan RM1,614.

Begitu juga, katanya dengan laporan audit untuk kerajaan negeri Pahang pada tahun 2009 di mana minyak kereta kerajaan ada yang diisi RM100 untuk satu liter.

“Macam mana Proton Perdana kapisiti tangki hanya untuk 64 liter tapi kereta Perdana kerajaan Pahang boleh diisi 130 liter, apakah tangki kereta jenis stokin yang boleh kembang?” soalnya.

Beliau berkata, laporan juga ada menyebut kereta yang sudah lupus tetapi kad untuk isi minyak masih digunakan.

“Ini hanya contoh-contoh kelakar Laporan Audit Negara.

“Persoalannya, kenapa masih tidak ada penambahbaikan, apakah ini transformasi Datuk Seri Najib?” tanya beliau lagi.

Katanya, sebab apa berlaku demikian, jawapannya ikan busuk di kepala.

Tiada ulasan: