Sabtu, 29 Oktober 2011

Ibrahim Ali akan tewas pada PRU 13

Muhammad Yusri Amin

PASIR MAS: Datuk Ibrahim Ali akan tumpas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti di parlimen Pasir Mas.

Justeru, jentera pilihan raya PAS kawasan tidak gentar walau siapa pun calon yang bertanding dari Barisan Nasional bagi Parlimen Pasir Mas.

Yang Dipertua PAS kawasan, Hanipa Ahmad berkata keyakinan itu disebabkan pada asalnya kawasan Parlimen Pasir Mas adalah ‘kubu’ PAS.

“Kita yakin kali ini kalau kita berhadapan dengan BN walau siapa pun calon BN, kita yakin insya Allah kita akan menang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Dividen Ladang Rakyat Kawasan Parlimen Pasir Mas di pejabat PAS kawasan di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Abdul Halim Abdul Rahman yang juga Adun Chetok dan Dr Muhammad Mat Daud yang juga Adun Tendong.

Hanipa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata parlimen Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum lalu ditandingi Ibrahim Ali dengan menggunakan tiket PAS dan itu kira ‘selesai’.

Beliau berkata, pimpinan PAS sentiasa patuh kepada arahan daripada pimpinan.

“Sekarang ini kita berkemungkinan besar dalam PRU-13 akan berhadapan dengan Datuk Ibrahim Ali yang akan menggunakan ‘dacing’. Itu kemungkinan besar.

“Jadi kita sudah bersip sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Kita telah membuat persiapan rapi, kita menguatkan jentera Dun masing-masing, di samping menguatkan jentera pilihan raya kawasan dengan mengadakan siri kursus tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: