Jumaat, 30 September 2011

Perangsang Selangor sasar 1,500 siswazah berniaga

Muhammad Faizal


SHAH ALAM: Sebagai salah satu agenda dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) telah menganjurkan satu program untuk membantu siswazah-siswazah Selangor bagi penyediaan mereka memasuki alam pekerjaan.

(Gambar: Pendaftaran siswazah hari ini.)

Pengerusi Kumpulan Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamarudin menjelaskan pada satu sidang media bersama Menteri Besar Tan Sri Abd Khalid Ibrahim hari ini, pihaknya meletakkan sasaran membantu lebih 1,500 siswazah dari Negeri Selangor untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

"Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan siswazah dari negeri ini dalam mendapatkan pekerjaan atau memulakan usaha perniagaan sendiri.

"Dalam pada ia dapat membantu Negeri Selangor mengurangkan kadar siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan dan serta sebagai satu usaha untuk mendukung hasrat merakyatkan ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Tambah beliau lagi, program ini bermula dengan penyediaan kursus dan latihan jangka pendek releven dengan pasaran kerja sekarang.

"Kita akan menyediakan latihan di tempat kerja (On-Job Training) dan usaha ini untuk membuat rekomendasi kepada majikan-majikan bagi siswazah-siswazah yang telah menamatkan kursus.

"Bagi siswazah yang mengikut kursus usahawan, insentif khas akan diusahakan untuk membantu siswazah tersebut bagi memulakan pekerjaan," tambahnya.

Idris memberitahu program ini disasarkan kepada semua siswazah dari Negeri Selangor yang memegang ijazah dan diploma dalam apa jua bidang yang bersesuaian dengan kursus yang ditawarkan.

"Untuk tahun 2011 semua kursus latihan akan bermula pada bulan Oktober dan November dan kita berharap usaha ini mendapat sambutan dari setiap siswazah," sambungnya lagi.

Sebelum itu Perangsang Selangor mengharapkan semua siswazah yang berminat untuk memohon bagi mengikuti program tersebut dapat menghubungi Unit Pelaksanaan CSR Perangsang Selangor.

Tiada ulasan: