Rabu, 28 September 2011

Jais: Pesuruhjaya PAS Selangor mohon balik tauliah kuliah agama


SHAH ALAM— Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Marzuki Hussin hari ini berkata pihaknya sudah menerima permohonan baru daripada Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman untuk mendapatkan tauliah menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri itu.

“Kami telah berjumpa semalam dan telah berbincang mengenai permintaan mereka,” katanya ketika pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Jais di sini hari ini.

Mengulas berkenaan permohonan tersebut, katanya, Jais akan memproses permohonan itu.

Jais tidak memperbaharui tauliah yang dikeluarkan kepada Dr Rani, yang juga Adun Meru, bulan lalu.

“Ada dua, tiga pemohon, kami menerima permohonan mereka dan kita akan mempertimbangkan... mereka boleh memohon, tetapi jawatankuasa yang terlibat akan berbincang dan mempertimbangkan mengikut peraturan dan enakmen yang sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, pemohon juga akan dipanggil untuk ditemu duga oleh pihak Jais dan sekiranya jawatankuasa terlibat memberikan sokongan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk meluluskan permohonan mereka.

Baru-baru ini, Jais berkata tidak akan mengeluarkan tauliah kepada ahli politik yang ingin berceramah dan menyampaikan tazkirah di 380 masjid dan lebih 1,000 surau serta premis awam di negeri ini berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak fungsi institusi agama itu disalah guna, demi kepentingan politik.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kes Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang akan didakwa di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 24 November ini kerana disyaki menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau di negeri itu.

Marzuki juga mengesahkan wakil rakyat itu akan didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Enakmen Jenayah Syariah 1995 yang memperuntukkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Setakat ini, Jais telah mengeluarkan tauliah kepada 2,601 individu yang layak.

Daripada jumlah itu, katanya, Jais turut mengeluarkan tauliah kepada 100 ahli politik.

Namun begitu, pihaknya menegaskan pemantauan berterusan akan dibuat bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan tauliah yang diberikan.

Tiada ulasan: