Jumaat, 30 September 2011

Hudud: Pemimpin DAP, PAS keliru dalam soal Perlembagaan, kata pakar




KUALA LUMPUR — Banyak pihak termasuk pemimpin PAS dan DAP sendiri terkeliru bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, kata pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Menurut Aziz (gambar), beliau tidak nampak sebarang asas dan sebab yang memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hukum hudud.

Kerajaan negeri Kelantan yang diperintah PAS sejak 1990 masih berusaha untuk melaksanakan hukum hudud itu di negeri itu. PAS mengambil langkah yang sama di Terengganu ketika memerintah antara 1999 hingga 2004.

“Setakat ini saya tidak jelas sebab mengapa perlembagaan perlu dipinda untuk pelaksanaan hudud,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ahli akademi dan pemerhati politik ini menambah, keperluan itu tidak wujud sebab sebahagian hukum hudud sudah pun dilaksanakan dalam bentuk jenayah syariah.

“Contohnya zina dan murtad, cuma hukumannya tidak mengikut Islam,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau lagi, “logiknya mereka yang berkata hudud perlu pinda Perlembagaan (Persekutuan), maka apa yang ada itu, yakni jenayah syariah tadi, adalah tidak sah.”

“Ini tidak masuk akal,” kata beliau lagi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan awal pagi ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata “bagi PAS, isu yang dipertikai adalah apakah perundangan syariah itu menepati kehendak Perlembagaan (Pusat) atau berlawanan dengan kehendak Perlembagaan negara, dan ini mestilah ditentukan oleh mereka yang berautoriti.”

Kata Aziz lagi, mereka yang mendakwa hudud tidak boleh dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan kononnya bersifat sekular juga tidak betul kerana kandungan rangka utam undang-undang negara itu tidak berkata begitu.

“Samalah dengan demokrasi itu sendiri, Perlembagaan Persekutuan tidak mengatakan bahawa sesuatu undang-undang itu tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak demokratik atau akan terbatal kerana bertentangan dengan demokrasi,” katanya lagi.

Jelas Aziz, piawaian atau standard atau pun penanda aras yang Perlembagaan Persekutuan gunakan ialah sesuatu yang jelas dan objektif.

“Perlembagaan tidak menggunakan penanda aras atau ukuran yang kabur seperti sekular atau demokrasi. Jelasnya perlembagaan menggunakan piawai yang objektif seperti bidang kuasa siapa dan sebagainya,” tambah beliau.

Tiada ulasan: