Isnin, 29 Ogos 2011

PAS cadang referendum bagi tentukan kilang Lynas

MALAYSIA KINI


PAS hari ini mencadangkan satu pungutan suara atau referendum awam diadakan bagi kerajaan menentukan sama ada projek kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas, milik syarikat Australia di Gebeng, Kuantan yang menjadi kontroversi negara perlu diteruskan atau dibatalkan.

NONEIni kerana menurut ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, apa jua keputusan yang dilakukan berhubung projek bernilai RM700 juta itu mempunyai kesan langsung kepada penduduk dan syarikat berkenaan.

“Andainya Lynas dan kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga dengan bantahan rakyat, kita yakin bantahan in akan berterusan dan tidak mustahil golongan yang membantah akan membuat injuksi mahkamah.

“Melalui referendum awam, ia boleh dijadikan landasan utama kepada kerajaan bagi meneruskan atau membatalkan projek ini. Ditambah pula, dengan cara ini, apa-apa keputusan yang diambil boleh kelihatan lebih adil kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadapi masalah

Menurut Tuan Ibrahim yang juga pesuruhajaya PAS Pahang, jika referendum awam menunjukkan majoriti rakyat bersetuju dengan projek berkenaan, maka syarikat Lynas dan kerajaan tidak akan menghadapi masalah lagi.

NONEKatanya, referendum awam adalah salah satu mekanisma yang ada dalam rangka sistem demokrasi bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan terhadap sesuatu yang besar kesannya kepada kehidupan mereka.

“Tanpanya, pihak kerajaan juga tentu akan berhadapan dengan tekanan berterusan seandainya sesuatu yang buruk terjadi bilamana sesuatu projek diluluskan.

“Semoga penyelesaian in akan mengundang keputusan yang baik bagi kedua-dua belah pihak dan haruslah diingatkan rakyat mempunya hak terbesar bagi menjamin suara mereka didengar oleh pemerintah,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata kekangan media perdana untuk memberikan liputan yang adil menyebabkan masyarakat masih tidak dapat informasi secukupnya daripada kedua-dua belah pihak.

NONEIni, katanya diburukkan lagi dengan sikap media berbahasa Melayu yang terlalu 'membela' kerajaan dalam laporan mereka hingga menyebabkan sensitiviti orang Melayu sebegitu rendah dalam isu sebegini dan kerana itu, menerima projek ini sebagai selamat.

“Lebih parah lagi, di kalangan penduduk kini terbahagi kepada dua pihak iaitu kumpulan yang menyokong dan yang menentang.

Kekuatan media

“Kumpulan yang menyokong telah menggunakan kekuatan media perdana, dialog terus dengan penduduk dan NGO serta pelbagai promosi bagi meyakinkan penduduk ia adalah projek yang selamat dan tidak perlu dibimbangi,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, isu Lynas, yang menjadi kontroversi kini bertambah hangat apabila ahli parlimen Hulu Langat PAS, Dr Che Rosli Che Mat, yang merupakan pakar nuklear mengeluarkan kenyataan bahawa kilang Lynas adalah sebuah kilang yang selamat untuk beroperasi di negara ini.

NONEKatanya, rakyat, khususnya penduduk di sekitar Kuantan, tidak perlu bimbang dengan kewujudkan kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Selain Che Rosli, golongan yang menyokong projek Lynas ini terdiri daripada beberapa pakar tempatan dan luar negara termasuk pemantau antarabangsa dan juga kerajaan negeri.

Justeru, kata Tuan Ibrahim, jalan penyelesaian paling baik adalah dengan mengadakan referendum awam.

Tiada ulasan: