Ahad, 28 Ogos 2011

Cadang jual Esso: Satu lagi kegagalan BN

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius terhadap cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad (ESSO) dan syarikat-syarikat berkaitannya kepada San Miguel Corporation (San Miguel) iaitu sebuah syarikat luar negara dari Filipina. Sekiranya penjualan ESSO ini menjadi kenyataan, ianya menandakan sekali lagi kegagalan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kepentingan negara dalam industri yang sangat penting dan strategik, selain dari kegagalan untuk membela nasib 98 peratus kakitangan ESSO yang merupakan anak tempatan.

Penjualan ESSO ini sekiranya diteruskan, ianya akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada industri minyak dalam negara ini. Perlu diingat bahawa urusan niaga itu juga termasuk loji penapisan minyak milik ESSO di Port Dickson, yang merupakan aset penting negara.

Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urusniaga tersebut dan ESSO mestilah menawarkan penjualan aset nya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sebagainya.

Perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China, iaitu CNOOC di atas kepentingan strategik.

Sepatutnya kerajaan yang ada ini, bersama dengan PETRONAS (Petronas) melalui Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah. Sekaligus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan lupa peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputra yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara.

Walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya di dalam syer peruncitan, iaitu pasaran stesyen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan. Sektor inilah yang paling banyak menerima subsidi kerajaan di mana hampir 70 peratus jumlah subsidi yang dibayar dengan menggunakan wang rakyat mengalir kepada syarikat-syarikat luar negara seperti ExxonMobil, Shell dan Caltex.

Sepatutnya kerajaan yang menguasai Petronas Dagangan mempunyai pandangan strategik dengan menjadi syarikat pertama untuk mengambil alih ESSO sekaligus menguasai sektor ini dari 30 peratus kepada hampir 50 peratus. PAS percaya bahawa keadaan pada waktu ini masih belum terlambat bagi Petronas Dagangan atau LTAT untuk memulakan perundingan bagi mengambilalih ESSO.

PAS juga mendesak kerajaan supaya menyemak semula perstrukturan subsidi minyak supaya syarikat-syarikat luar negara tidak membolot sebahagian besar jumlah subsidi kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Kerajaan dan Petronas mestilah bertindak pantas secara strategik supaya kestabilan bekalan bahan petroleum domestik pada paras harga munasabah terus dibina dan dilindungi dan kepentingan negara tidak terhakis.

PAS tidak akan bertolak ansur dalam isu strategik dan mempunyai impak jangka panjang kepada keselamatan negara, perkembangan ekonomi dan kepentingan rakyat Malaysia seperti penjualan ESSO kepada kepentingan luar.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Tiada ulasan: