Rabu, 31 Ogos 2011

49 laporan terhadap Mohamad Sabu

SINAR HARIAN



SUNGAI BULOH – Polis menerima 49 laporan, terhadap Mohamad Sabu yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai pengganas komunis dalam tragedi Bukit Kepong.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu didakwa menyatakan, mereka menyerang dan membunuh anggota keselamatan serta keluarga dalam tragedi itu sebagai hero sebenar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Kenyataan itu menggemparkan masyarakat dan ia menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara serta ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong. Kita akan siasat semua laporan diterima secara menyeluruh.

“Saya rasa dia kurang baca buku sejarah atau bertanya kepada mereka yang tahu sejarah berhubung tragedi itu. Cuba lawat kawasan itu dan lihat sendiri keadaan di sana,” katanya selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor, di sini, semalam.

Khalid berkata, pihaknya akan mengambil keterangan Mat Sabu dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan.

Kelmarin, Khalid menyatakan kepada Sinar Harian, bahawa polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Sabu dan pihaknya sedang mengkaji tindakan sewajarnya terhadap Timbalan Presiden Pas itu.

Menurutnya, Mat Sabu perlu memohon maaf secara terbuka kerana kenyataan dangkalnya itu akan menyinggung perasaan waris anggota polis yang maut dalam tragedi berdarah itu.

Tiada ulasan: