Sabtu, 30 Julai 2011

Wahabi: Mufti Perlis lega penjelasan tapi mahu Putrajaya terus siasat


KUALA LUMPUR— Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Juanda (gambar), salah seorang personaliti yang dilaporkan disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau berkata, beliau berharap isu yang muncul semula sejak seminggu lalu dapat diselesaikan.

“Saya gembira dengan penjelasan Datuk Seri Jamil Khir, yang saya berharap dapat memperjelaskan kedudukan sebenar mengenai ajaran sesat dan keganasan yang dikaitkan dengan kerajaan Arab Saudi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sehubungan itu kata Juanda, beliau berharap kerajaan akan menyiasat pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan perbalahan antara Malaysia dengan beberapa negara terutama Arab Saudi sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam negara ini.

“Kita bimbang dengan keadaan, kita berharap kerajaan akan menyiasat mengenai pihak yang hendak mencetuskan perbalahan,” kata beliau lagi.

Selain Juanda, turut disenaraikan ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan sekumpulan ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

The Malaysian Insider membawa laporan tengah hari tadi, memetika bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Putrajaya telah memaklumkan satu mesyuarat penting bahawa sememangnya tidak wujud ancaman keselamatan didakwa dibawa oleh Wahabi.

Nama Shahidan pernah dikaitkan dengan amalan Wahabi di negara ini tahun lalu.

Shahidan berkata, berdasarkan pada maklumat yang beliau peroleh, Jamil Khir ada memaklumkan bahawa “tiada perkara sedemikian” di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan enggan menyebut bila dan lokasi menteri itu menyatakan pendirian tersebut.

“Mengikut keterangan Datuk Seri Jamil Khir, beliau cuma tidak mahu menyatakan perkara ini secara terbuka setakat ini, tetapi menjelaskan bahawa tiada perkara sedemikian.

“Menurut beliau, pendapat mengatakan Wahabi menjadi ancaman dan menjurus ke arah aktiviti pengganas... ini adalah pendapat individu sahaja, ia telah dibuat di tempat yang tidak sepatutnya dibuat iaitu MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Shahidan.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pasukan keselamatan memutuskan amalan Wahabi memang wujud di negara ini, tetapi dakwaan bahawa ia menjadi ancaman ke atas keselamatan negara bukan sesuatu yang membimbangkan buat masa sekarang.

“Memang ada amalan Wahabi, tetapi ia bukan di peringkat yang amat membimbangkan,” kata sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Malah katanya, maklumat yang digunakan dalam pembincangan Isnin lalu adalah berdasarkan pada perkembangan setakat Februari lalu.

Isu mengenai amalan Wahabi pernah muncul di media massa April lalu dengan memfokus kepada kerajaan negeri Perlis.

Bagaimanapun sumber itu mengakui tindakan mengaitkan isu itu dengan Arab Saudi ada membawa kesan ke atas hubungan kedua-dua negara.

Tiada ulasan: