Ahad, 31 Julai 2011

Suhakam terus gesa undang-undang tanpa bicara dimansuh


KUALA LUMPUR— Berikutan pembebasan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat selama 28 hari Jumaat lalu, Suhakam mengulangi gesaan agar Putrajaya memansuhkan kesemua undang-undang penahanan tanpa bicara.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata pihaknya berpuas hati dengan tindakan Putrajaya membebaskan kesemua enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan sejak 2 Julai lalu.

“Suruhanjaya berpuas hati kerana kerajaan telah memberi maklum balas positif terhadap saranan yang telah dibuat oleh banyak pihak termasuk dari suruhanjaya supaya keenam-enam tahanan itu dibebaskan.

“Sesungguhnya menjadi harapan kami agar penahanan secara arbitrari tidak berulang di masa hadapan kerana ia bertentangan dengan masyarakat yang bebas dan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau mencadangkan kepada Putrajaya agar memansuhkan semua undang-undang penahanan tanpa bicara dengan menggantikan dengan undang-undang baru.

“Suruhanjaya berharap kerajaan memansuhkan kesemua undang-undang penahanan pencegahan dan menggantikannya dengan satu undang-undang baru yang berfungsi menurut keperluan keselamatan negara, di samping mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat,” katanya.

Kelmarin, selain Dr Jeyakumar, lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P. Letchumanan, 49; anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M. Sukumaran, 50; timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, telah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Tiada ulasan: