Ahad, 31 Julai 2011

Sambutan pembebasan EO6: Rakyat tidak boleh ditakut-takutkan lagi

Lim Hong Siang


Keenam-enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, sebulat suara mendakwa bahawa kuasa rakyat yang membebaskan mereka daripada penahanan. Malah, keberanian rakyat untuk turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011, dan kecekalan untuk terus mendesak agar EO6 dibebaskan, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah tidak takut lagi.

Ahli parlimen Sungai Siput Micheal Jeyakumar Deveraj (gambar kiri, kiri) menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya akan ditahan untuk tempoh 60 hari, malah mungkin dilanjutkan kepada dua tahun - namun akhirnya kerajaan terpaksa akur kerana desakan daripada rakyat Malaysia untuk membebaskan mereka.

Micheal Jeyakumar menganggap penangkapan EO6 bertujuan untuk menakutkan rakyat Malaysia agar tidak menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, namun strategi ini terbukti gagal.

Ketika menggulung selepas EO6 yang dibebaskan jam 5.30 petang semalam berucap, Setiausaha Agung PSM Arutchelvan menyimpulkan bahawa "Rakyat Malaysia tidak boleh ditakut-takutkan lagi dengan cerita karut!"

Arutchelvan menceritakan bagaimana PSM sebagai parti yang paling miskin, meraih sokongan ramai selepas penahanan aktivis partinya berikutan perhimpunan BERSIH 2.0. Mereka sempat untuk mengumpul wang sebanyak RM192,000 dalam masa dua jam, untuk mengikat jamin aktivisnya yang ditahan. Malah, selepas penahanan EO6, ada orang yang mengunjungi ibu pejabatnya untuk mengisi borang kemasukan parti.

Kira-kira 400 orang dari latar belakang kaum yang pelbagai hadir untuk menyambut pembebasan EO6 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Satu forum untuk membincangkan Ordinan Darurat dijadualkan untuk diadakan semalam, bertukar kepada perkongsian pengalaman EO6. Forum ini juga bertembung dengan candle light vigil untuk mendiang Teoh Beng Hock, yang diadakan pada 9 malam.

Selepas EO6 berkongsi pengalaman mereka, hampir kesemua hadirin menyertai candle light vigil di tingkat bawah Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KL-SCAH) menambahkan bilangan peserta kepada kira-kira 600 orang. Pengerusi BERSIH 2.0, EO6 dan wakil-wakil NGO turut hadir untuk memberi solidariti kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Rakyat adalah wira demokrasi


Laungan slogan "Hidup Rakyat", "Mansuh Akta Zalim", "Hancur EO", terus kedengaran, malah penyokong PSM menyanyikan lagu "Suara Rakyat" dan lagu "Internasionale" untuk menyambut ketibaan EO6. Selain penyokong PSM dan aktivis sosial, pemimpin politik yang turut hadir termasuklah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan lain-lain. Puluhan polis berada di sekitar bangunan KL-SCAH, tetapi tidak mengganggu perjalanan aktiviti.

Ketika berucap, AJK PSM Choo Chon Kai menjangkakan bahawa dirinya akan ditahan untuk tempoh yang panjang, namun beliau tidak pernah berasa gentar sama sekali.

"Saya ada kepercayaan kepada rakyat di luar sana. Saya percaya rakyat kita sudah matang," katanya disambut dengan sorakan. Beliau menambah, "Saya tidak merasa kami enam orang ini adalah wira. Wira yang sebenarnya adalah anda semua. Setiap orang, setiap rakyat yang turun ke jalan raya pada 9 Julai. Anda semua adalah wira demokrasi kepada politik di Malaysia ini!"

Penahanan di bawah Ordinan Darurat kali ini tidak melunturkan semangat R Saratbabu, malah beliau telah berjanji kepada dirinya, bahawa beliau akan bersama perjuangan PSM selepas dibebaskan. AP Letchumanan pula berkata, Ketua Polis Negara hanya boleh memenjarakan badannya, tetapi gagal memenjarakan semangat perjuangannya.

Sugumaran a/l Munisamy mengisahkan pengalamannya dalam nada berjenaka, menceritakan betapa lucunya cara soal-siasat pegawai penyiasat. Beliau ditanya soalan apa yang dilakukan pada bulan pertama tahun 1990, diminta untuk bernyanyi, malah pegawai penyiasat cuba membandingkan PSM dengan Parti Komunis Malaya (PKM) - PSM dengan hanya seorang pemimpin berketurunan Melayu, iaitu Nasir Hashim, sementara yang selainnya adalah berketurunan India. Sugu berkata pegawai penyiasat cuba menyamakan situasi ini dengan PKM, yang mana Rashid Maidin seorang sahaja Melayu di kalangan pemimpin PKM, dengan pemimpin selebihnya adalah berketurunan Cina.

Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, turut mengalami pengalaman yang agak sama, di mana pegawai penyiasatnya cuba menyamakan sosialisme dengan komunisme. Beliau yang tidak tahan dengan kenyataan pegawai penyiasat itu berkata mereka telah puluhan tahun ketinggalan, sedangkan kita kini berada dalam abad ke-21.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: