Jumaat, 29 Julai 2011

Dr Jeyakumar mogok lapar

Harakahdaily


KUALA LUMPURi: Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), hari ini melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan.

Perkara itu dimaklumkan oleh isteri beliau, Mohanarani Rasiah ketika menemui suaminya itu kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Menurut Moharani, suaminya itu sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadapnya dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah EO sejak 2 Julai lalu.

“Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah.

“Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” kata Mohanarani dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Monaharani, Dr Jeyakumar memberitahu, walaupun sudah berkali menafikan kaitan PSM dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) dan fahaman komunis tetapi pihak berkuasa itu tetap memaksa dengan tuduhan palsu.

Tuduhan menghidupkan komunisme itu katanya, hanya berdasarkan beberapa penemuan T-shirt.

Malah kebelakangan ini Dr Jeyakumar memberitahu polis berusaha mereka tuduhan baru, berdasarkan lawatan pemimpin PSM ke luar negara atas jemputan parti sosialis lain di dunia.

Ia termasuk dakwaan PSM ada hubungan rahsia dengan PKM di Thailand.

“Dr. Jeyakumar menafikan semua tuduhan palsu ini, semua soalan polis menjurus untuk mengeluarkan satu cerita karut untuk melanjutkan tempoh tahanan,” kata Mahanarani.

Sementara itu, sekumpulan penyokong PSM akan mengadakan "protes cukur kepala" sebagai menunjukkan solidariti kepada PSM EO6.

Mereka akan berkumpul di pasar Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Bayan Baru pada Sabtu ini bermula jam 8 pagi.

Tiada ulasan: