Jumaat, 29 Julai 2011

Aksi erotik kendiri: Keluarga mahu inkues dibuka semula

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Keluarga seorang lelaki yang dipercayai mati semasa aksi erotik kendiri akan membuat representasi untuk meminta satu inkues bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kematiannya dibuka semula.

Peguam Gurbachan Singh, yang mewakili keluarga Th’ng Boon Siang memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa mereka mahu mengadakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes itu di Mahkamah Koroner.

Beliau memberitahu panel yang terdiri daripada hakim Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Azahar Mohamed bahawa beliau telah memaklumkan pendakwaan mengenai perkara itu pagi ini.

Oleh itu, mahkamah menangguhkan kes itu kepada 15 September bagi membolehkan pihak pembela membuat representasi. Hari ini ditetapkan untuk pendengaran kebenaran untuk rayuan.

Laporan Bernama Online menyebut, keluarga Th’ng memfailkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian mangsa adalah disebabkan asfiksia (hal mati lemas) dan luka yang dilakukan sendiri yang dialami semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Pada 2007, Mahkamah Koroner membuat dapatan berdasarkan testimoni Ketua Jabatan Forensik Hospital Ipoh Dr Mohammad Shafie Othman @ Osman, yang mendapati punca kematian akibat asfiksia seksual.

Gurbachan berkata mereka mahu membuka semula kes itu kerana terdapat pendapat berbeza oleh dua ahli patologi forensik berhubung keadaan yang membawa kepada kematian Th’ng.

Dua ahli patologi forensik itu ialah Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dr Mohammad Shafie.

Semasa inkues itu, beliau berkata, Dr Mohammad Shafie mendapati bahawa kematian mangsa disebabkan oleh pengasfiksian dan luka yang dilakukan sendiri semasa melakukan aksi erotik kendiri.

Laporan itu menyebut, dalam keterangan Dr Bhupinder di Mahkamah Tinggi semasa perkara itu disemak berkata, bahawa kematian mangsa bukan disebabkan aksi erotik kendiri.

Keluarga mangsa memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung keputusan Mahkamah Koroner.

Gurbachan berkata semasa inkues dan di peringkat semakan di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan juga gagal untuk memanggil saksi penting, pembantu rumah Indonesia mangsa, yang menjumpai mangsa selepas insiden itu.

Bagaimanapun, keluarga pemilik kedai runcit itu percaya beliau dibunuh kerana leher dan kaki mangsa diikat dengan tali nilon dan rafia.

Isteri Th’ng, Ang Kim Hong, menjumpai mayatnya di atas lantai di sebuah bilik belakang di tingkat bawah kedai mereka pada kira-kira pukul 7.30 pagi 29 Mei 2003, di Manjung dengan kedua-dua tangannya diikat.

Tiada ulasan: