Isnin, 27 Jun 2011

RM7.7 juta skim baik pulih Negeri Berkebajikan

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor telah meluluskan RM7.7 juta untuk Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar).

Jumlah itu, katanya adalah tambahan kepada RM2 juta yang telah diperuntukkan dalam Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor dan ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan sebanyak RM9.7 juta.

Menurut beliau, skim itu adalah bagi membantu pemilik-pemilik pangsapuri kos rendah membaikpulih kediaman mereka.

Katanya, pemilik-pemilik pangsapuri telah ditawarkan untuk menyertai skim itu dengan Kerajaan Negeri akan membaikpulih pangsapuri mereka melalui kaedah perkongsian 80:20.

"Menerusi skim itu, Kerajaan Negeri akan membiayai 80 peratus dari kos membaikpulih dan penduduk hanya 20 peratus," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, tawaran telah diberikan kepada pemilik-pemilik melalui Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB), dan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC).

Sebanyak 62 kawasan pemajuan, jelasnya, telah ditawarkan untuk menyertai skim itu dan setakat ini 19 pemajuan telah dipilih berdasarkan peruntukan asal sebanyak RM2 juta.

"Dengan tambahan sebanyak RM7.7 juta lebih banyak pemajuan akan dapat dibaikpulih. Dianggarkan dengan peruntukan tambahan ini, sekurang-kurangnya 70 pemajuan akan dibaikpulih," ujarnya yang juga Adun Chempaka.

Walau bagaimanapun, katanya, JMB dan MC mestilah bersetuju dengan syarat syarat untuk menyertai skim itu.

Syarat-syaratnya,hanya satu pembaikan bagi satu pemajuan, JMB/MC/ Persatuan Penduduk telah berdaftar, rekod kewangan yang memuaskan selama 6 bulan terdahulu, membayar 10 peratus pendahuluan terlebih dahulu, pemajuan yang terpilih perlu menandatangani akujanji bagi membayar baki 10 peratus.

Selain dari itu, jelasnya, hanya kerja-kerja baik pulih yang kritikal akan diutamakan seperti lif, bumbung, tangki air dan sistem pembentungan.

Tiada ulasan: