Selasa, 28 Jun 2011

Bersih 2.0: Polis siasat Anwar petang ini

THE MALAYSIAN INSIDER



Kenyataan dikeluarkan ibu pejabat PKR malam tadi menyebut Anwar akan berada di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.

KUALA LUMPUR — Polis meneruskan siasatan berhubung tiga perhimpunan serentak 9 Julai ini dengan yang terbaru memanggil Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan dikeluarkan ibu pejabat PKR malam tadi menyebut Anwar akan berada di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan berkaitan ucapan beliau di Brickfields (awal bulan ini).

“Ucapan tersebut dikatakan ada menyentuh persoalan mengenai perhimpunan Bersih,” kata kenyataan itu lagi,

Kenyataan itu menambah, Notis 111 yang dikeluarkan polis menyebut siasatan dibuat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke IPD Dang Wangi esok (hari ini), pukul 5 petang,” katanya lagi.

Semalam, pihak polis telah mengambil keterangan daripada pengerusi Bersih, presiden Perkasa dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan.

Himpunan Bersih 2.0 akan diadakan pada 9 Julai ini manakala Perkasa dan Pemuda Umno dengan sokongan beberapa komponen Barisan Nasional mahu mengadakan perhimpunan balas.

Selain tiga wakil itu polis juga menyoal siasat Sasterawan Negara Datuk A Samad Said semalam.

Tiada ulasan: