Selasa, 31 Mei 2011

Usul Pemuda PAS tumpu persiapan p'raya

Afiq Hizami


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan membahaskan tiga usul berkaitan persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dalam muktamar mereka yang akan diadakan 2 Jun ini.

Pengerusi jawatankuasa usul dewan itu, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, tiga usul tersebut menyentuh persiapan pilihan raya umum ke-13, pemberian kad pengenalan kepada warga asing selain meminta PAS Pusat turut mengadakan muktamar bagi badan perhubungan negeri.

Mengulas lanjut beliau berkata, seruan kepada pemuda PAS untuk menyertai himpunan Bersih ll bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil akan dimasukkan di bawah usul persiapan PRU ke 13.

Selain itu katanya, pemuda akan mendesak kerusi bagi ahli Parlimen yang lompat parti digantikan dengan parti lain bagi menjamin kepercayaan rakyat.

"Kita mahu pada pilihan raya akan datang tidak berlaku lagi wakil rakyat dari Pakatan Rakyat lompat parti.

"Jadi kita mahu bahas sama ada wajar kerusi lompat itu diganti parti lain," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Berkaitan PRU 13 juga, Suhaizan yang juga ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, isu pendaftaran undi secara automatik kepada warganegara akan dibahaskan memandangkan ia merupakan satu keperluan bagi memastiak semua warganegara yang layak mengundi menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemuda juga katanya akan berbahas berkaitan cadangan mengasingkan pilihan raya negeri dengan pilihan raya umum kerana ini dilihat lebih relevan pada masa ini.

"Kita juga akan bincang agenda menarik sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS sendiri," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Berhubung isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing, pemuda akan membincangkannya secara mendalam termasuk mendesak jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyiasat laporan yang diterime berkaitan perkara itu.

"Pemuda sendiri akan mencadangkan di muktamar nanti agar kita sendiri menubuhkan pasukan khas untuk memantau perkara ini," katanya.

Selain itu beliau berkata, pemuda mahu muktamar badan perhubungan negeri turut diadakan selain muktamar dewan-dewan di peringkat negeri.

"Sekarang PAS tak ada muktamar untuk badan perhubungan negeri. Kita cuma ada muktamar dewan ulamak, pemuda dan muslimat di setiap negeri. Jadi kita berpandangan adalah penting untuk mengadakan muktamar badan perhubungan kerana badan ini juga memainkan peranan penting kepada parti," katanya.

Tiada ulasan: