Ahad, 29 Mei 2011

Umno perlu ‘belajar’ dari Pakatan pandai simpan krisis dalaman


KUALA LUMPUR — Ahli-ahli Umno perlu bertindak seperti barisan pembangkang yang sanggup mengetepikan amalan politiking dalaman, kata ketua Umno Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani (gambar) hari ini.

Johari berkata, budaya bermusuhan dan mengkhianati dalam Umno, meskipun wujud di peringkat cawangan, akan membawa impak buruk ke atas masa depan politik Umno.

“Mari bekerja sebagai sebuah pasukan untuk memenangi (kerusi) Titiwangsa,” kata beliau pada persidangan perwakilan bahagian itu, salah satu bahagian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Barisan Nasional (BN) hilang 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Bercakap pada majlis perasmian persidangan itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa ahli-ahli parti itu sanggup membuka pekung di khalayak, tidak seperti Pakatan Rakyat (PR).

Kata beliau, walaupun ada masalah yang sama dalam PKR, PAS dan DAP, kepimpinan pembangkang bijak dalam menyembunyikan rasa tidak puas hati mereka daripada pengetahuan awam.

Alat-alat seperti media atas talian seharusnya digunakan dengan baik ke atas pembangkang dan bukannya untuk mencetuskan permusuhan dalam parti kerana ia akan digunakan sebagai peluru oleh pihak musuh, kata Zahid.

“Dengan pilihan raya umum semakin dekat, peluru-peluru ini akan membunuh kita,” kata beliau memberi amaran.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata ahli-ahli Umno seharusnya memfokus perhatian mereka ke atas soal pilihan raya, bukannya menghabiskan masa untuk politiking ketika perlu membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat kelmarin memutuskan untuk mengadakan pilihan raya olok-olok menjelang pilihan raya umum.

Datuk Seri Najib Razak, selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN dijangka memanggil pilihan raya umum tahun ini meskipun mempunyai mandat sehingga 2013.

Tiada ulasan: