Selasa, 31 Mei 2011

Tinjauan orang ramai: Rakyat terbeban kenaikan tarif elektrik

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun ini akan menambahkan beban yang sedia ada malahan memberikan kesan yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

Perkara ini jelas menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan yang diumumkan kerajaan semalam.


Mahmud Awangluddin, 43, ketika ditemui wartawan menyatakan ketiadakpuasan hatinya apabila kerajaan menaikkan tarif elektrik.

Katanya, meskipun kenaikan itu tidak dikenakan kepada pengguna secara langsung, namun harga barang dan perhidmatan lain dijangka akan meningkat.

“Kita akan tambah terbeban, tidak cukup dengan harga minyak, gula, kini elektrik pula. Susah mahu meneruskan hidup kalau kerajaan sentiasa naikkan harga keperluan,” katanya meluahkan kekecewaan.

Ruslaniza Mahat, 34 seorang pekerja swasta berkata, tindakan kerajaan menaikkan tarif elektrik akan memberi kesan kepada orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kenaikan ini akan disusuli dengan kenaikan harga barang dan makanan. Jangan fikir rakyat bodoh. Ini menunjukkan kerajaan tak prihatin dengan nasib rakyat. Slogan rakyat didahulukan hanya slogan semata-mata,” katanya.


Manakala pemilik syarikat percetakan, David Nathan,49, berkata, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan kerana mahu mengurangan subsidi.

“Saya tidak bersetuju dengan kenaikan tarif elektrik kerana akan menyebabkan semua harga barang akan dinaikkan. Perniagaan saya banyak menggunakan elektrik, lagi pun bagaimana mahu membayar gaji pekerja dan sebagainya,” katanya.

Bekas pesara kakitangan awam, Vadi Velu, 59, yang agak emosional apabila ditanya mengenai pendapatnya berhubung kenaikan tarif elektrik menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai memaksa rakyat untuk terus hidup dalam kesusahan.

“Ini semua akan membebankan rakyat, barang lain akan ikut naik juga. Kerajaan cakap saja tidak naik, tapi apa yang terjadi sebaliknya.

“Tidak mustahil selepas ini jenayah akan bertambah akibat desakan hidup yang tinggi di negara kita,” ujarnya.


Cher Kar San, 48, pemilik kedai runcit turut meluahkankan kekecewaannya apabila kerajaan sanggup menaikkan tarif elektrik tanpa memikirkan rakyat.

“Sekiranya keadaan ini berterusan selepas satu persatu barang naik, susah kami untuk meneruskan perniagaan. Sudah pasti pemborong akan naikkan harga, kami peruncit terpaksa juga ikut naikkan harga,” ujarnya.

Tiada ulasan: