Selasa, 31 Mei 2011

SPR didesak buat keputusan segera

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat keputusan segera mengenai bantahan yang dikemukakan oleh PAS berhubung pertambahan pengundi luar biasa di Selangor.

Desakan tersebut dibuat memandangkan tempoh bantahan yang diberikan oleh SPR terlalu singkat, manakala jumlah pertambahan pengundi di Selangor yang dikeluarkan oleh SPR pada suku pertama tahun ini terlalu ramai sehingga 71,000 orang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPS), Hasbullah Mohd Ridzwan memberitahu, jumlah pertambahan pengundi sebanyak itu pada suku pertama tahun ini sememangnya amat meragukan, memandangkan ia amat jauh melampaui jumlah pendaftaran biasa pengundi baru di Selangor yang paling ramai hanya berjumlah 15,000 orang.

Menurut beliau, disebabkan keadaan itu, PAS Selangor telah mengemukakan bantahan yang munasabah berhubung perkara itu di pejabat SPR Selangor di Shah Alam akhir April lalu, tetapi sehingga kini masih belum diberikan tindakan sewajarnya.

Katanya, bantahan PAS berhubung perkara itu berdasarkan beberapa alasan yang antara lain terdapat nama-nama warganegara asing yang diangkat menjadi warga negara Malaysia, bagi membolehkan mereka turut menjadi pengundi pada pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

"Warganegara asing itu sememangnya akan mengundi bagi membantu BN. Sejauh yang dikesan oleh PAS, jumlahnya memang agak besar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, terdapat juga nama-nama yang didaftarkan itu tidak wujud pada alamat yang dicatatkan, manakala sesetengahnya pula tercatat nama pengundi yang tidak selaras dengan alamat yang dicatatkan.

"Dalam sesetengah kes yang kami kesan, terdapat juga nama-nama pengundi yang didaftarkan tanpa pengetahuan individu itu sendiri.

"Inilah yang menimbulkan kemusykilan kepada kami. Siapakah yang daftarkan mereka itu?

"Adakah Umno Selangor sendiri yang melakukannya secara rambang akibat tekanan Umno pusat untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat?" tegasnya.

Tindakan yang dilakukan oleh Umno itu, katanya, merupakan satu strategi yang diperbaharui semula oleh Umno di Terengganu dalam usaha Umno BN merampas Terengganu dari PAS pada PRU Ke-11 tahun 2004 lalu.

Realiti itu dapat dikesan apabila didapati pemimpin Umno yang terbabit dalam penyusunan strategi di Terengganu itu adalah Datuk Seri Idris Jusoh sendiri yang kini telah diangkat memainkan peranan penting oleh Umno di peringkat pusat.

"Namun dari apa yang dilakukan itu, kami amat sedih apabila warganegara asing turut dibabitkan dalam perkara itu sehingga menyebabkan mereka begitu mudah diberikan taraf sebagai warganegara.

"Ini jelas merupakan satu pengkhianatan yang dilakukan oleh Umno BN terhadap negara kerana perbuatan itu memang boleh mengancam keselamatan negara dan merbahayakan tanah air kita sendiri dari pelbagai sudut," katanya.

Tindakan itu pula, ujarnya, dilakukan oleh Umno setelah mendapat lampu hijau dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar Umno melakukan apa sahaja untuk membolehkan Umno BN merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

"Semua itu jelas membuktikan Umno BN kini berada dalam keadaan sangat terdesak untuk merampas semula Selangor dari Pakatan Rakyat," tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, pemuda PAS tidak akan membiarkan Umno BN bertindak sedemikian. Sebaliknya, Pemuda PAS Selangor seperti juga pemuda-pemuda PAS di negeri-negeri lain di seluruh negara mempunyai makanisme tersendiri untuk mengekang gelombang itu dengan menggerakkan kebangkitan rakyat.

"Antara makanisme kami itu, kami akan mengekang gelombang itu dengan menggerakkan rakyat agar mengikuti Himpunan Bersih Kedua yang akan diadakan Julai nanti," ujar beliau.

Tiada ulasan: