Selasa, 31 Mei 2011

Presiden Perkasa juga mahu Anwar digantung jawatan Ketua Pembangkang




KUALA LUMPUR— Datuk Ibrahim Ali juga mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung jawatan Ketua Pembangkang Parlimen sehingga hasil siasatan rakaman video seks selesai.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas (gambar) itu, tindakan menggantung Anwar selaras dengan prinsip dan amalan yang dilakukan di perkhidmatan awam di sisi undang-undang.

“Sebagai ahli Parlimen saya menyokong 101 peratus cadangan (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) Datuk Seri Rais Yatim agar jawatan ketua pembangkang yang disandang Anwar digantung sehingga kes dakwaan dalam rakaman video seks dan perbincaan bela diri kes liwatnya selesai.

“Ini kerana ia selaras dengan prinsip dan amalan yang dilakukan pada perkhidmatan awam di sisi undang-undang yang mana semua orang sama sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR, didakwa terlibat dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu, namun telah dinafikan.

Selain itu, Anwar juga kini berhadapan dengan perbicaraan kes liwat yang melibatkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan telah diarahkan untuk membela diri.

Laporan media memetik Rais berkata jalan terbaik untuk meredakan keraguan dalam isu itu ialah menggantung Anwar sehingga kes dakwaan dalam rakaman video seks selesai.

Beliau berkata, prinsip dan amalan itu dilakukan pada perkhidmatan awam di sisi undang-undang.

“Kenapa ia tidak dilakukan kepada ahli Parlimen yang berjawatan.

“Lagipun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Jika Anwar tak rela ‘cuti’ dari jawatannya itu, bermakna beliau tidak menghormati amalan akauntabiliti demokrasi dan undang-undang negara,” katanya.

Selain itu, kata Rais, sekiranya mahkamah memutuskan Anwar tidak bersalah maka Pakatan Rakyat boleh mengesyorkan pengembalian jawatan itu.

Dalam kenyataan itu, Ibrahim yang juga Presiden Perkasa juga mempersoalkan “keistimewaan” yang ada pada Anwar sehingga tidak boleh sebarang tindakan diambil terhadapnya.

“Tapi Anwar hebat kerana setakat ini beliau tidak mengamalkan akauntabiliti demokrasi dan undang-undang negara, malah tiada sesiapa yang boleh menghalang Anwar membawa kes perbicaraannya ke ceramah-ceramah terbuka.

“Amat luar biasa kebebasan yang ada pada Anwar, beliau boleh bergerak ke seluruh dunia... orang lain tidak perlu empat saksi tapi dalam kes Anwar mesti ada empat saksi, jika tidak ada empat saksi semua tuduhan adalah fitnah dan ini hujah penyokong Anwar,” katanya.

Tambah Ibrahim, pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Anwar menyebabkan kedudukan pemimpin itu tidak boleh disentuh.

“Pendirian Datuk Nik Aziz lagi luar biasa, beliau kata ia fitnah tapi tidak lihat video itu.

“Kalau orang lain belum tentu benar atau tidak, kalau musuh beliau serang habis-habisan, kalau kena batang tubuh sendiri macam-macam alasan diberikan,” katanya.

Tegas beliau, Anwar sepatutnya tidak diberikan sebarang kedudukan istimewa dan tindakan perlu diambil kepada beliau.

“Anwar bukan malaikat... Anwar bukan maksum... maka cadangan Datuk Seri Rais Yatim ada asasnya.

“Sama ada dari segi akademik, undang-undang, moral, akauntabiliti, rasa malu, nama baik institusi Parlimen dan sebagainya jawatan ketua pembangkang Parlimen wajar dibersihkan selagi mana ia disandang oleh Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: