Selasa, 31 Mei 2011

Presiden PAS ziarah mangsa tanah runtuh

Afiq Hizami, Pelatih UKM


AMPANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melawat mangsa tanah runtuh yang membabitkan rumah anak-anak yatim Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, di Hospital Ampang Sabtu lepas.

Beliau yang datang dari Pejabat Agung PAS tiba pada jam 3.30 petang di lobi utama hospital disambut oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli dan para pemimpin PAS Ampang serta kakitangan hospital.

Bercakap di sidang media di lobi hospital dengan diiringi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, Ustaz Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kejadian yang kelihatan penat dan tidak bermaya ketika dirawat di hospital Ampang.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh pihak hospital dan juga semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa tanah runtuh ini.

"Saya mendoakan kesejahteraan mereka dan berharap mereka tenang dan bersabar dalam menempuhi dugaan ini yang tentunya mempunyai hikmah di sebaliknya," jelas beliau lagi.

Bertanyakan mengenai kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pada 21 Mei baru-baru ini, beliau menjelaskan tentang ciri-ciri keselamatan yang perlu dititik beratkan oleh pihak berwajib supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kelak.

Abdul Hadi juga kelihatan bermesra dengan mangsa-mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di wad pesakit di tingkat lima hospital.

Beliau juga turut melawat beberapa mangsa yang berada di Unit Rawatan Rapi di tingkat tiga hospital.

Beliau yang mendapat iringan daripada Dr. Che Rosli dan kakitangan hospital turut memberi sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa kejadian.

Salah seorang mangsa kejadian Mohd Syafiq Ibrahim 22, melahirkan kesyukuran terhadap keperihatinan Abdul Hadi yang sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang dialaminya.

Beliau yang cedera di leher akibat terkena hentakan kuat dalam kejadian itu turut berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh Abdul Hadi.

Malahan, Ibu kepada Mat Irwan Zakaria yang masih lagi sedih melihat keadaan anaknya yang lemah dan tidak berdaya masih mampu memberi senyuman ketika ditanya Abdul Hadi mengenai keadaan anaknya.

Puan Zarina, ibu kepada Zuhairi turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh Abdul hadi dan berharap berkat doa beliau dan dengan izin Allah kesihatan anaknya akan bertambah pulih.

Zuhairi yang kaki kirinya terpaksa dipotong bagaimana pun masih lagi dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut.

Tiada ulasan: