Isnin, 30 Mei 2011

Perkasa mahu Anwar mengaku dirinya pemimpin paling buruk

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Perkasa mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui dirinya seorang ahli politik paling buruk, bukannya mendakwa ketua mereka Datuk Ibrahim Ali dalam kategori itu.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, sepanjang karier Ibrahim berpolitik, tidak pernah beliau didakwa di mahkamah berbanding Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Ibrahim Ali semasa dalam Semangat 46 dulu pun hentam pimpinan Umno dan BN cukup kuat dan tidak sedikit Ibrahim Ali kena siasat baik oleh BPR (semasa itu) atau pun LHDN untuk disabitkan kesalahan bagi menjahanamkan karier politiknya.

“Namun, kerajaan ketika itu tidak menemui satu pun kesalahan Ibrahim Ali kerana Ibrahim memang terkenal dengan integritinya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, kata Syed Hassan, Ibrahim tidak akan melakukan apa yang tidak betul.

“Apa yang betul beliau lakukan semuanya akan menyusahkan semua pihak yang pernah salah laku kerana Ibrahim tidak kenal sahabat.

“Yang tidak betul beliau akan bersuara dengan tegas walaupun terkena rakan karib,” katanya.

Semalam, Anwar (gambar) menyifatkan Ibrahim, yang mengetuai pertubuhan bukan kerajaan Perkasa sejak tiga tahun lalu, merupakan seorang ahli politik Malaysia yang paling buruk.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mendakwa Ibrahim cuba melaga-lagakan umat Islam dan Kristian antara satu sama lain dengan mengisytiharkan sanggup mengadakan perang jihad terhadap komuniti Kristian.

Tindakan-tindakan Ibrahim, menurut Anwar, dilakukan atas restu Umno.

“Masalahnya ialah sistem yang kita ada bertolak ansur dan menggunakan mereka seperti Ibrahim Ali,” kata Anwar,

“Ketepikan pelawak-pelawak ini,” kata Anwar.

Dalam ceramahnya tiga minggu lalu, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan perang jihad jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Syed Hassan menambah, presidennya tidak akan membela mereka yang salah laku walaupun mereka adalah rakan karibnya.

“Dan, sekarang beliau diterima ramai pihak. Para profesional Melayu semakin mendekati Ibrahim Ali,” kata beliau pertahan Ibrahim.

Syed Hassan berkata, dalam Dewan Tertinggi Perkasa sendiri tidak sedikit ahli profesional menganggotainya kerana ada lebih lima orang peguam, pensyarah empat orang, bekas timbalan ketua polis negara dan jeneral yang telah bersara juga bersama beliau.

“Ahli-ahlinya juga ramai daripada kalangan profesional.

“Para imam-iman dan bilal-bilal masjid juga ramai bersama Ibrahim sekarang ini,” katanya sambil menambah ramai yang sudah mengenali siapa Ibrahim sekarang, akan bersama dengan beliau dalam Perkasa atau menyokongnya dari luar.

Beliau mendakwa ia berbeza dengan Anwar dan ditinggalkan oleh ramai sahabatnya, profesional, ustaz, imam, dan ahli-ahli politik, sebaik mereka mengenali “siapa Anwar sebenarnya.”

“Anwar Ibrahim kalau bukan seorang ahli polilik yang buruk, tak akan ada yang tinggalkannya.

“Saya tidak mahu menuduh Anwar dalam kes-kesnya. Tapi tuduhan ke atas Anwar bukan dari kerajaan. Yang dakwa Anwar adalah individu yang rapat dengan Anwar sendiri,” katanya merujuk kepada bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

“Pelbagai pihak dah dedahkan sendiri siapa Anwar.

“Kalau kita nak sabitkan tuduhan terhadap Anwar kerana salah laku moralnya adalah sebab-sebab politik, kenapa pihak yang tidak puas hati dengan Ibrahim Ali tidak buat tuduhan yang sama macam Anwar kena, ke atas Ibrahim Ali?” katanya.

Sebaliknya kata beliau, yang selalu “kita dengar pun tuduhan Ibrahim Ali moral buruk lompat parti sahaja.”

“Buruk sangat ke lompat parti? Berapa kali sangat Ibrahim Ali lompat parti?

“Ada ahli politik lebih kerap lompat parti dari Ibrahim. Apa pun rakyat tahu mana ahli politik yang buruk,” katanya.

Syed Hassan menambah, lebih-lebih lagi orang Melayu yang kenal sangat mana satu ahli politik yang buruk.

“Mereka kenal siapa yang yang menjual maruah bangsa dan Islam demi politik.

“Itu lebih buruk. Apa lagi yang dituduh peliwat dan penzina. Semoga Allah S.W.T akan beri petunjuk kepada umatnya dalam negara ini. Mana satu pemimpin yang buruk pun Allah dah tunjuk sedikit demi sedikit sekarang ini,” kata Syed Hassan.

Tiada ulasan: