Isnin, 30 Mei 2011

Penyeludupan manusia: Tiga ditahan mengikut ISA

BERNAMA


Tiga orang termasuk dua warga asing ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Lahad Datu pada 24 Mei lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia.

NONEMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengesahkan penahanan itu berkata, ketiga-tiga individu berkenaan dikesan aktif dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin melalui jalan laut dan darat.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai identiti mereka.

Katanya, tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan kepada pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Penjara Negeri, Suria Idris, kedua-dua mereka anak jati tempatan, di Kota Kinabalu, hari ini.

Hishammuddin berkata, penangkapan mereka akan membolehkan satu siasatan lanjut yang terperinci dijalankan sekaligus diharap mampu membongkar dan mengekang tindak-tanduk kegiatan penyeludupan warga asing di Sabah.

human trafficking tip report 131607 bar in thailandKatanya, tangkapan itu adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Mengenai pelantikan dua pengarah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di Sabah, Hishammuddin berkata, pelantikan kedua-dua pegawai anak jati Sabah itu diharap dapat memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran di kedua-dua agensi terbabit.

"Kedua-dua mereka diyakini mempunyai pengetahuan yang luas berhubung situasi di negeri ini dan terbukti amat komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Hishammuddin berkata, dengan pelantikan mereka, lima daripada sembilan pengarah jabatan atau agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di Sabah adalah anak jati tempatan.

Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya jumlah orang tempatan yang diambil bertugas di jabatan atau agensi kerajaan persekutuan di negeri ini agak rendah.

Sambil memberi contoh sembilan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri di Sabah, Hishammuddin berkata majoriti kakitangan di kesemua jabatan itu adalah orang tempatan dengan peratusan antara 70 dan 97 peratus.


Tiada ulasan: