Selasa, 31 Mei 2011

PAS kutuk tentera NATO serang kanak-kanak

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang telah mengorbankan sembilan nyawa orang awam termasuk kanak-kanak di Afghanistan.

(Gambar: Rakyat Afghanistan berdemo membantah serangan Nato)

Biarpun NATO memohon maaf atas tindakan kejam itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Ghazali berkata, ianya tidak memadai apatah lagi serangan tersebut dilakukan ketika mangsa sedang berehat di kediaman masing-masing.

Lebih menyedihkan katanya, semua pihak dilihat bersikap dingin dengan kekejaman yang dilakukan itu seperti hanya merelakan ianya berlaku.

"Mereka sedap-sedap panggil muslim terrorist, tapi bila kanak-kanak dan orang awam Islam yang jadi mangsa, berapa orang yang mengutuk.

"Mana setiausaha Amerika Syarikat, mana Obama, mana pejuang-pejuang hak asasi dunia dan mana kerajaan Malaysia," soalnya.

Media hari ini melaporkan Ketua Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa di Afghanistan, Mejar Jeneral John Toolan menyatakan permintaan maafnya mewakili NATO atas serangan tentera udara tersebut.

Dalam serangan di Helmand Sabtu lalu itu, jurucakap NATO memaklumkan telah mengorbankan 12 kanak-kanak dan dua wanita, bagaimanapun tida penjelasan lanjut berhubung beza angka seperti dinyatakan Toolan itu.

Penduduk mendakwa peluru berpandu tersebut dilepaskan dari helikopter tentera NATO dan mengena dua buah rumah yang dihuni wanita dan kanak-kanak tersebut.

"Nyawa umat Islam seperti debu yang menyeliputi jenazah anak-anak tak berdosa.

"Maruah umat Islam, maruah kemanusiaan diinjak-injak tanpa pembelaan," tegasnya.

Tiada ulasan: