Isnin, 30 Mei 2011

Panel IAEA beri bayangan loji Lynas ikut standard, kata wakil MCA


KUANTAN – Panel nuklear antarabangsa yang sedang meneliti aspek keselamatan loji nadir bumi Lynas di sini memberi ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker jaminan bahawa ia salah satu daripada banyak projek yang boleh dikawal selia dengan selamat.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menemui pakar-pakar dari Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) di sini hari ini, kata Ti, beliau telah membangkitkan persoalan mengenai pencemaran radioaktif daripada projek-projek nadir bumi di negara lain, antaranya di China.

“Mereka mengatakan bahawa ia aktiviti-aktiviti yang serupa dan industri-industri dengan bahan yang serupa, yang dikawal selia mengikut standard IAEA,” kata Ti, pemimpin utama MCA yang pernah meminta agar projek berkenaan dikaji semula ekoran protes publik.

Loji itu dijadual untuk beroperasi September ini.

IAEA berada di sini selepas kerajaan tunduk kepada tekanan awam bulan lalu dan mengadakan penelitian dari segi aspek keselamatan dan kesihatan, yang dikendalikan oleh pakar-pakar bebas.

Pasukan sembilan pakar itu berada di Kuantan untuk bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan tempatan selama dua hari.

Menurut Ti, pasukan itu belum lagi mengunjungi loji tersebut yang terletak di zon perindustrian Gebeng.

Anggota jawatankuasa pusat MCA itu berkata panel berkenaan seharusnya diberikan “manfaat keraguan” dalam menyediakan laporan yang akan diserahkan kepada kerajaan menjelang akhir bulan depan.

“Pada akhirnya, kerajaan akan membuat keputusan dan mengambil tanggungjawab penuh,” katanya.

Meskipun adanya kerja-kerja penelitian panel bebas dan kajian semula di pihak kerajaan, Lynas yakinn tidak akan ada kelewatan operasi pemprosesan nadir bumi pada September kerana ia mempertahankan bahawa loji itu selamat.

Tiada ulasan: