Selasa, 31 Mei 2011

No 2 PAS: Era Hadi paling banyak saingan, kata Subky Latif


KUALA LUMPUR— Pemimpin veteran PAS Subky Abdul Latif berkata semenjak Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerajui parti Islam itu awal dekad lalu, jawatan timbalan presiden telah menyaksikan persaingan sengit setiap kali pemilihan diadakan.

Jelas beliau, jika hendak dibandingkan dengan presiden PAS sebelum ini, jawatan timbalan presiden tidak pernah dipertandingkan, malah tidak dicabar pada kebanyakan pemilihan.

Calon yang akan bertanding jawatan nombor dua parti adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu.

Tambah Subky, kali terakhir jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan adalah pada 1981, yang mana ketika itu Datuk Yusof Rawa mencabar Datuk Abu Bakar Omar di bawah pimpinan Datuk Mohd Asri Muda.

“Selepas Dauk Fadzil Mohd Noor sejak Ustaz Hadi menjadi presiden PAS, jawatan timbalan presiden mesti (akan) ada pertandingan setiap kali ada pemilihan, sebelum daripada ini jawatan timbalan presiden tidak ada pertandingan atau senang kata jarang sekali.

“Sebelum ini yang terakhir adalah ketika Datuk Yusof Rawa mencabar Datuk Abu Bakar Omar ketika itu dan selepas itu timbalan presiden tiada pertandingan, sejak Hadi menjadi presiden, timbalan presiden ada pertandingan.

“Agaknya PAS mengamalkan demokrasi dan masing-masing peka dengan perkembangan semasa, bagi saya presiden dan timbalan presiden ini sangat penting kerana ia bukan sahaja penting kepada ahli tapi masyarakat umum juga,” kata kolumnis ini kepada The Malaysian Insider.

Pada pemilihan kali ini, Hadi mengekalkan jawatan presiden yang disandangnya sejak 2002.

Sejak pemilihan 2005 sehingga 2009 jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan. Pada 2005, Nasharudin menewaskan Allahyarham Datuk Hassan Shukri diikuti pada 2007 mengalahkan Datuk Harun Taib.

Pada 2009, Nasharudin menempuh pertarungan sengit apabila berhadapan dengan dua pemimpin yang dikatakan ‘cukup ampuh’ dalam PAS iaitu Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Nasharudin berjaya mempertahankan kedudukannya.

Tegas Subky, salah satu sebab mengapa jawatan timbalan presiden tidak sepatutnya dipertandingkan kerana pemimpin yang memegang jawatan itu akan menerajui parti sekiranya kerusi presiden kosong.

Tambah bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan ini, jawatan nombor dua parti harus diberi kepada pemimpin berlatarbelakangkan kelulusan agama atau ulama berbanding golongan profesional.

“Siapa yang menang untuk jawatan timbalan presiden dia mesti orang yang boleh menggantikan jawatan presiden sekiranya berlaku kekosongan, kalau ditakdirkan kosong orang ini menggantikan peranan presiden.

“Dan, penggantinya mesti hebat atau lebih hebat daripada presiden sebelum ini dan dalam PAS ada calon-calon yang yang layak tapi mereka ini tidak ke depan.

“Pada saya timbalan presiden mesti ulama sebab kalau profesional nanti yang akan jadi timbalan itu akan menjadi pemangku presiden,” katanya.

Jelas beliau, bukan golongan profesional tidak layak untuk memegang jawatan timbalan presiden tetapi sekiranya ia daripada golongan ulama ia akan memudahkan banyak perkara termasuk dalam hal ehwal agama Islam.

“Bukan profesional ini tidak layak, semua layak (untuk jawatan timbalan presiden), Datuk Husam Musa layak, Datuk Mahfuz Omar layak dan Mat Sabu (Mohamad Sabu) juga layak tapi presiden parti mesti orang yang mahir al-Quran dan Hadis.

“Kalau timbalan tiada kelebihan ini dan ditakdirkan presiden tiada macam mana? Pemangku (presiden) mesti mahir al-Quran dan Hadis sebab bila ada soal yang membabitkan hukum Islam dia boleh jawab,” katanya sambil mengakui kepimpinan ulama memang tidak diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan parti.

Namun jelas beliau, secara konvensional dasar kepimpinan ulama yang menjadi tradisi parti itu harus diteruskan.

Menjelang hari pengundian 5 Jun ini, sebagaimana disaksikan tahun-tahun lalu, soal kepimpinan ulama dan profesional kembali muncul dalam menentukan penyandang jawatan nombor dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Minggu lalu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan wujudnya soal kepimpinan ulama atau profesional dalam parti itu.

Semalam Ketua Dewan Ulama PAS pusat Datuk Harun Taib menegaskan kepimpinan ulama harus diteruskan dalam parti itu walaupun ia tidak termaktub dalam perlembagaan parti Islam itu.

Bagaimanapun Subky berkata, untuk jawatan naib presiden mana-mana golongan baik ulama atau profesional dibolehkan.

Ditanya pemimpin mana yang layak untuk memegang jawatan utama dalam PAS, Subky berkata pemimpin itu mesti seorang yang berkeyakinan dan boleh diterima semua lapisan masyarakat “Kalau kita lihat dalam keadaan sekarang, rakyat melihat pemimpin PAS sama macam rakyat lihat Umno yang mana rakyat mahukan seorang pemimpin yang berkeyakinan.

“Sebab itu dalam PAS ini presiden, timbalan presiden dan naib presiden sangat penting sebab rakyat melihat apa yang berlaku dalam parti, kalau seorang itu ustaz dia mesti ustaz yang berwibawa dan kalau dia seorang pemimpin dia mesti boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: