Selasa, 31 Mei 2011

Hata sedia timbang sertai politik

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Mohd Hata Wahari sedia menimbang untuk menyertai parti politik bagi meneruskan perjuangannya selepas tidak lagi terlibat dengan NUJ.

Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu berkata, beliau bagaimanapun masih belum membuat keputusan parti mana mahu disertainya.

"Setakat ini saya berjuang secara individu dahululah. Lagi pun parti politik mana nak terima saya.

"Lain la kalau PAS tawar, saya boleh la pertimbangkan," katanya dalam nada berseloroh.

Hata melepaskan jawatannya sebagai presiden NUJ berkuat kuasa serta merta selepas dipecat daripada Utusan Melayu, bulan lalu.

Menurut Hata, keputusan itu diambilnya demi kepentingan kesatuan berkenaan.

"Saya tidak mahu NUJ timbul masalah dengan Jabatan Hal Ehwal Pendaftaran Kesatuan Sekerja sebab saya bukan lagi ahli mana-mana anggota kesatuan," katanya lagi.

Jawatan yang dikosongkan itu kini diisi Naib Presiden NUJ, Chin Sung Chew daripada Sin Chew selepas dipilih sebulat suara dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi kesatuan hari ini.

"Saya harap NUJ dapat meneruskan perjuangannya untuk kebebasan media," ujarnya.

Hata sebelum ini dipecat oleh Utusan Melayu Berhad kerana didakwa melanggar syarat perkhidmatan dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan polisi syarikat.

Beliau juga sebelum ini mendedahkan bahawa agenda akhbar Utusan ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: