Sabtu, 30 April 2011

PPK TIDAK PERNAH BERI BIBIT UBI MENTEGA


KAMPUNG….Ahmad menunjukkan hasil ubi kayu kampung yang belum berisi yang sebenarnya diberikan oleh PPK Kunak, bukannya tanaman ubi mentega, sambil beliau memegang keratan akhbar berkaitan kenyataan pegawai PPK sebelum ini.

Oleh: IBRAHIM TABIR

"Tidak ada bekalan bibit ubi kayu mentega daripada Peladang (PPK) Kunak", ujar seorang petani yang kecewa kerana bantuan bibit tanaman ubi mentega itu tidak diperolehi daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak meskipun dijanjikan sebelum ini.

Ahmad A.Manga, 39 dan isterinya Atiqah Aqilah binti Aman, 31, ahli PPK Kunak menyangkal dakwaan pihak pertubuhan Peladang yang kononnya telah memberikan keratan benih ubi mentega kepada mereka menerusi program ladang kontrak yang ditandatangani tahun lalu.

Ahmad berkata, kenyataan Pengurus Besar PPK Kunak seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 14 April lepas yang mengatakan bantuan benih tanaman/keratan ubi kayu mentega bersama ubi kayu kampung telah diberikan kepada beliau adalah tidak benar.

"Hanya keratan ubi kayu kampung sebelum ini yang kami dapat dan hasilnya boleh anda lihat sendiri di sini", kata Ahmad membawa wartawan meninjau kawasan kebunnya pada Khamis.

Ahmad yang turut mengusahakan industri IKS-membuat kerepek dan keropok di kampung Cenderawasih di sini berkata, daripada 300 keratan ubi kayu sebagai bibit tanaman yang diberikan oleh pengurus projek PPK Kunak pada Ogos tahun lalu untuk tujuan tanaman projek ladang kontrak itu, tidak terdapat satupun batang ubi kayu mentega disalurkan.

"Semuanya ubi kayu kampung. Jadi kenyataan pihak PPK Kunak yang mengatakan mereka turut menyalurkan bersama keratan ubi kayu mentega adalah tidak benar sama sekali dan saya sedia membawa pegawai atau kakitangan agensi terlibat ke kebun saya untuk melihat sendiri tanaman ubi tersebut", kata beliau sambil mengalu-alukan agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang kebetulan berada di Sabah supaya meluangkan masa dapat meninjau permasalahan beliau dan beberapa lagi ahli PPK di sini yang menghadapai masalah serupa dalam program ladang kontrak tanaman ubi mentega di Kunak.

Ahmad berasa kecewa dengan agensi seperti PPK Kunak yang sebelum ini menjanjikan bahawa kemudahan dan bantuan penstrukturan ladang termasuk bantuan pembinaan sistem saliran dan jalan susur masuk ke ladang mereka dan bantuan benih tanaman ubi mentega masih gagal diperoleh sedangkan sebelum ini harapan tinggi diberikan oleh agensi itu bagi membantu petani terbabit mengusahakan tanaman tersebut.

Beliau berkata, jika benar pihak PPK Kunak ada memberikan benih tanaman ubi mentega pada Ogos tahun lalu, hasil tanaman itu sudah boleh dituai kerana ia hanya mengambil tempoh masa sehingga empat bulan untuk matang.

"Tapi sampai ke hari ini, hasilnya masih belum ada. Tanaman ubi kayu kampung yang PPK Kunak beripun agak mengecewakan kerana tanaman ubi kayu itu tidak berisi atau kurang segar", kata Ahmad sambil memberitahu yang beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk mencari bibit yang sempurna untuk menanam ubi kayu kampung dan diperoleh dari rakan tani yang ada di daerah itu.

"Hasil bibit tanaman ubi kayu kampung yang saya usahakan sendiri lebih menunjukkan hasil yang baik berbanding bibit tanaman ubi kayu kampung yang diberikan oleh Pertubuhan Peladang di sini", ujar beliau menunjukkan hasil usahanya itu.

INISIATIF…. Ubi kayu kampung yang ditanam oleh Ahmad atas inisiatifnya sendiri mencari bibit tanaman itu kerana PPK gagal menyalurkan bibit.

Ahmad menjelaskan, jika benar daripada 300 batang ubi kayu yang disalurkan oleh PPK Kunak pada Ogos tahun lalu itu dicampur bersama keratan ubi kayu mentega; "Mengapa keratan ubi itu tidak diasing-asingkan supaya kami lebih mudah mengenali antara tanaman ubi kayu kampung dan ubi kayu mentega di kawasan tanah pertanian?", soal beliau.

Ahmad berkata, beliau mensyaki kemungkinan berlaku ketirisan dan penyelewengan bantuan yang sepatutnya mereka peroleh bagi mendapatkan benih ubi kayu mentega daripada Pertubuhan Peladang kawasan di sini kerana daripada lapan peserta yang terlibat dalam program ladang kontrak tanaman ubi di Kunak, hanya empat peserta yang berjaya mengusahakan tanaman ubi mentega seperti yang disebut oleh pegawai PPK dalam laporan akhbar pada 14 April lalu itu.

Menurutnya, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan telah membelanjakan begitu banyak bantuan pertanian kepada agensi tertentu termasuk PPK, Jabatan Pertanian dan seumpamanya.

"Tetapi malangnya petani tidak memperoleh hasil yang sepatutnya", ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa pihak pengurus projek tanaman ubi kayu oleh PPK Kunak gagal turun padang ke kebun beliau untuk melihat sendiri permasalahan yang berlaku selama ini meskipun beberapa kali aduan pernah diajukan ke pejabat pertubuhan itu.

Tiada ulasan: