Khamis, 28 April 2011

Peguam Bantah Penguatkuasaan Ordinan Darurat Ke Atas Remaja 19 Tahun

TVS NEWS


PETALING JAYA : Lawyer for Liberty (LFL) membantah keras penguatkuasaaan undang-undang Ordinan Darurat di negara ini yang disifatkan zalim dan kejam.

Ini berikutan penahanan seorang remaja, Mohamad Arif Abu Samah, 19 tahun di bawah Seksyen 3 Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari.

Menurut Peguamcara LFL, Fadiah Nadwa Fikri, penggunaan undang-undang ini begitu kejam dan zalim memandangkan remaja terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah untuk disabitkan kesalahan.

“Dalam kes ini kita dapat lihat betapa kejamnya Ordinan Darurat ini digunakan kepada rakyat Malaysia terutamanya dalam kes-kes yang telah kita dokumentasikan
dan diikuti berhubung penahanan-penahanan remaja yang berumur bawah 21 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Mohamad Arif ditahan di rumahnya di Selayang pada 8 Mac 2011 pada jam 5.00 pagi setelah didatangi oleh tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

Beliau menambah, pihak keluarga hanya menerima notis tangkapan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (KA & MJ) No. 5/69 pada 18 Mac, 10 hari selepas Arif ditahan.

Didalamnya tercatat bahawa Arif ditahan di tepi jalan Besar Bukit Idaman, Batu Caves dan tarikh 8 Mac.

“Bayangkan dengan apa yang berlaku di bawah Ordinan Darurat. Ini bermaksud semua semua yang disyakki tidak dibawa ke mahkamah dan mereka tidak mempunyai peluang untuk menerangkan apa sebenarnya berlaku,” ujar beliau.

Lebih mengejutkan, pihak keluarga menerima satu panggilan yang dikatakan dari pihak polis yang meminta pihak keluarga menyediakan wang sejumlah RM 15,000
sekiranya ingin Arif dibebaskan.

Malah ujarnya, keluarga yang melawat Arif turut dimaklumkan oleh remaja berkenaan bahawa beliau telah dipukul menggunakan wayar, batang besi dan batang paip
supaya mengakui kesalahan terbabit.

Bapa tahanan, Abu Samah Ab. Rahim, ketika ditemui pemberita ternyata kecewa dengan tindakan polis yang menyerbu rumahnya tanpa sebarang notis dan ia jelas satu penganiayaan kepada keluarganya.

“Pada 21 Mac, saya berjumpa dengan ASP Tuan Mohd Fadhil Mihat saya menyatakan kenapa anak saya dikenakan macam ini (penahanan tanpa bicara 60 hari)? Dia kata anak saya mengaku. Kalau anak saya mengaku mencuri kenderaan mengapa tidak disabitkan kesalahannya, kalau sekiranya anak saya melakukan kejadian sedemikian rupa.

“Kenapa dan mengapa anak saya ditahan di bawah Ordinan Darurat? Itu yang membuatkan saya menjadi serba salah ke mana hala tuju yang seharusnya saya tuju,” katanya lagi.

Mohamad Arif merupakan anak ke-2 daripada tiga adik beradik kini ditahan di Lokap Balai Polis Rawang dan pihak keluarga hanya dibenarkan melawat pada setiap Jumaat mulai jam 11.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari dalam tempoh 15 minit.

Tiada ulasan: