Sabtu, 30 April 2011

MCA Sekali Lagi Tegaskan Pendirian Soal Kedudukan Dalam Kerajaan

MSTAR ONLINE

MELAKA: MCA sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri sekiranya keputusan yang diperolehi parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang lebih rendah daripada keputusan yang dicapai pada PRU ke-12.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pada PRU ke-12, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut.

"Oleh kerana kita (MCA) tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina maka untuk menghormati masyarakat Cina kita buat keputusan, kita tidak seharusnya memegang jawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di sini, pada Jumaat.

Dr Chua berkata namun begitu, MCA akan terus menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana parti itu masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak khususnya dalam program tranformasi ekonomi dan tranformasi negara.

"Kami yakin beliau mampu dan mempunyai kewibawaan untuk memimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1Malaysia dan berpendapatan tinggi dan mencapai status sebagai sebuah negara maju," katanya.

Dr Chua berkata, keputusan yang dicapai sebulat suara anggota mesyuarat tersebut tidak ada kaitan dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas apabila pengundi Cina lebih memihak kepada pembangkang.

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak menerima jawatan itu akan dikemukakan kepada perdana menteri, Dr Chua berkata perkara itu mungkin dibawa ke mesyuarat agung tahunan MCA pada 2 Oktober depan untuk mendapat perakuan terlebih dahulu.

Mengenai keputusan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting yang tidak akan bertanding pada PRU akan datang, Dr Chua berkata, MCA mengucapkan terima kasih kepada Ong atas sumbangannya kepada parti dan negara selama ini.

"Ini satu contoh yang baik di mana pemimpin memberi laluan kepada muka baru dan kita berharap beliau terus beri sokongan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan MCA," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Chua berkata, MCA bercadang untuk menubuhkan sebuah muzium di Melaka bagi mempamerkan sumbangan masyarakat Cina dalam mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini.

Katanya, MCA akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai penubuhan muzium itu.

Tiada ulasan: