Khamis, 28 April 2011

Keterangan saksi tidak konsisten punca utama SPRM kalah kes

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Antara punca utama kekalahan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah adalah disebabkan saksi-saksi pendakwaan tidak memberi keterangan yang konsisten.

SPRM dalam Laporan Tahunan 2010, berkata terdapat juga saksi-saksi yang enggan memberi keterangan dan berpaling tadah sama ada kerana tertuduh adalah pihak yang berkepentingan dengannya atau saksi takut akan keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya.

Ini adalah antara hasil kajian Panel Khas SPRM yang ditubuhkan untuk mengkaji kekalahan kes perbicaraan kes-kes rasuah dan isu-isu saksi belot atau berpaling tadah semasa memberi keterangan di mahkamah.

"Kebanyakan saksi pendakwaan dalam kes rasuah adalah saksi-saksi yang diminta untuk bekerjasama memberi keterangan dan bukannya tampil secara sukarela.

"Keterangan saksi di mahkamah adalah di luar kawalan pihak pendakwaan dan SPRM," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, antara langkah yang diambil untuk menangani masalah saksi belot atau berpaling tadah ialah dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Sebagai contoh katanya, dalam kes bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzaman, sembilan orang saksi pendakwaan yang belot atau berpaling tadah dituduh mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu.

SPRM berkata, tindakan sedemikian boleh memberi pengajaran kepada saksi-saksi yang berkecenderungan melakukan perbuatan yang sama.

Selain itu, SPRM berkata, terdapat juga masalah kekurangan Timbalan Pendakwa Raya atau Pegawai Pendakwa yang berpengalaman untuk menghadapi barisan peguam bela yang berpengalaman, peguam senior dan sangat mahir mengendalikan kes-kes rasuah.

Katanya, usaha sudah dibuat untuk menempatkan Timbalan Pendakwa Raya yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman sebelum mengendalikan kes-kes rasuah.

"Namun, kefahaman hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret mengenai kaedah dalam penyiasatan dan pembuktian kes-kes rasuah juga menjadi faktor di mana banyak kes di Mahkamah Rendah didapati tidak memihak kepada pihak pendakwaan," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, analisis berkenaan adalah berdasarkan statistik 2010 di mana terdapat 31 kes yang asalnya diputuskan tiada kes prima facie oleh Mahkamah Rendah diperintahkan membela diri oleh hakim Mahkamah Tinggi selepas rayuan didengar.

Tiada ulasan: