Jumaat, 29 April 2011

Hak Melayu : Chua Patut Runding Dengan Umno Dan Perkasa, Kata PKR

TVS NEWS


SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat hari ini membidas presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mencabar parti pembangkang itu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu sebagai syarat untuk beliau menyokongnya.

Saranan Chua itu dilihat sebagai cubaan terdesak untuk mempengaruhi pengundi Cina supaya terus menyokong MCA kerana tidak ada perubahan dasar akan berlaku, sekali pun Pembangkang menawan Putrajaya.

Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenyataan Chua berbaur perkauman dan pemimpin parti Cina itu 'menyalak pada pokok yang salah'.

“Kedudukan kami amat jelas. Malah dalam Buku Jingga, kami bersepakat menerima kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan sebagainya. Pakatan tidak mempunyai masalah mengenainya.

“Tetapi kita ada masalah dengan ketuanan Melayu yang kita tolak dan mahu ia digantikan dengan ketuanan rakyat. Jika (Chua) Soi Lek mahu mencabarnya, biar dia berunding dengan PERKASA,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Chua berkata beliau akan menjadi orang pertama mengundi PKR jika parti itu 'membatalkan hak Melayu”.

“Jika PKR berani gubal perlembagaan dan hapuskan hak keistimewaan Melayu, saya adalah orang pertama angkat tangan untuk undi PKR,” katanya dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh partinya.

Chua berkata demikian dalam bahasa Cina tetapi terdapat sarikata bahasa Inggeris dalam video yang dimuat-naikkan pada Rabu lalu yang diselangi dengan kesan muzik yang dramatik.

Nik Nazmi berkata komen Chua itu harus diperinchi oleh pemimpin Umno dan parti komponen BN yang lain.

“Orang tuduh Pakatan, (ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP mahu 'menjual hak Melayu.' Tetapi ini, sebuah parti komponen BN mahu perlembagaan dipinda. Jika saya dalam BN, saya akan minta beliau perjelaskan kenyataannya itu,” kata Nik Nazmi.

Sementara itu, naib presiden PKR Tian Chua berkata Chua tidak mempunyai asas untuk mencabar PKR kerana beliau bukan anggota parti itu. Beliau sebaliknya mencar presiden MCA itu membawa perkara berkenaan ke mesyuarat majlis tertinggi BN.

"Kalau dia betul-betul mahu perlembagaan mengenepikan hak Melayu dan Bumiputera, dia patut mula lobi MCA dan bawa ke kongres Barisan Nasional (BN) dan biar BN tentukan. Kenapa usul kepada PKR, dia bukan ahli," kata Tian.

"Mengapa tiba-tiba dia ingin bawa perkara ini. Adakah dia cuba melebihi Perkasa dengan menimbul Perkasa versi Cina untuk tujuan perbandingan,’ tambah Tian.

Tian berkata pendirian PKR dan Pakatan Rakyat adalah sehaluan dalam hak-hak rakyat di bawah Perlembagaan.

"Perlembagaan membekalkan hak bagi Melayu dan Bumiputera atas sebab spesifik di mana semua rakyat Malaysia setuju termasuk bahasa kebangsaan, agama rasmi, tanah rezab Melayu, dan Raja sebagai ketua negara. Saya rasa tidak ada orang yang membantah perkara itu,’ tegas beliau.

Tiada ulasan: