Khamis, 28 April 2011

GMI Kerjasama Dengan Selangor Kempen Mansuhkan ISA

Ditulis oleh Ayie


SHAH ALAM : Usaha kerajaan negeri Selangor untuk memasang 56 papan iklan Kempen Selamatkan Malaysia : Mansuhkan ISA di seluruh negeri mendapat sokongan penuh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau yang memperjuangkan gerakan kempen mansuhkan ISA sejak 2001 lagi percaya bahawa Pakatan Rakyat mampu meyakinkan rakyat bahawa ISA adalah sebuah akta zalim yang tidak relevan lagi pada masa kini.

Malah ia menandakan satu transformasi menyeluruh bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat apabila gagasan itu mentadbir Putrajaya kelak.

"Saya sangat sambut baik saranan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Selangor dan ianya bermula daripada cadangan kami melalui YB Saari Sungib yang telah buat usul supaya menubuhkan sekretariat untuk membantu menggerakkan kempen mansuhkan ISA," kata Syed Ibrahim.

Kempen pemasangan iklan ini selari dengan Buku Jingga yang diterbitkan Pakatan Rakyat yang meletakkan agenda mansuhkan ISA sebagai agenda kedua.

Syed Ibrahim juga tidak menolak sekiranya desakan terus dilakukan oleh Pakatan Rakyat, ia mampu memberi tekanan hebat kepada kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan akta zalim ini.

"Kita tahu Pakatan Rakyat sekarang menguasai 5 negeri, oleh kerana itulah kita lihat sekiranya ada tekanan begini dari kerajaan negeri PR, ia akan memberi satu mesej yang jelas dan kesedaran kepada masyarakat bahawa ini bukan isu kecil tetapi memerlukan satu pandangan dan usaha yang serius,"tambahnya lagi.

Jelas beliau, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berkata pada tahun 2009 bahawa beliau akan mengkaji semula akta ini, namun sehingga kini tiada apa-apa pembentangan yang dibuat di Parlimen.

Beliau ketika dihubungi TV Selangor turut menyatakan bahawa GMI akan memberikan sepenuh kerjasama untuk menjayakan lagi kempen ini.

Semalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan peruntukan lebih RM600,000 untuk memasang 56 papan iklan Kempen Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, papan iklan Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA ini akan dipasang di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan.

Tiada ulasan: