Rabu, 30 Mac 2011

SPR kenal pasti 9 kawasan “panas” di Sarawak

Bagi memastikan proses kempen berjalan dengan lancar di kawasan panas itu pihak SPR akan membuat pemantauan yang lebih teliti.



KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak yang dikategorikan sebagai kawasan “panas” pada pilihan raya negeri ke-10.

Kawasan Dun yang dikategorikan sebagai kawasan panas ialah Dun N4 Pantai Damai, N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawa, N19 Kedup, N39 Repok, N46 Dudong, N48 Palawan, N49 Nangka dan N51 Balingian.

Bercakap di sidang media sebelum menghadiri sesi Taklimat Penguatkuasaan Pilihan Raya bagi Zon Kuching membabitkan 32 kawasan Dun di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Wan Omar berkata, bagi memastikan proses kempen berjalan dengan lancar di kawasan panas itu pihak SPR akan membuat pemantauan yang lebih teliti.

“Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini kempen-kempen di kawasan-kawasan panas akan lebih hangat. Oleh itu, kita akan melakukan pemantauan yang lebih teliti di kawasan-kawasan panas ini untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, ” katanya.

Bagi memastikan proses kempen berjalan dengan lancar Wan Ahmad berkata, SPR akan menubuhkan 80 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di kesemua 71 kerusi Dun.

Menurutnya, setiap pasukan PPKPR yang ditubuhkan akan dianggotai lima orang petugas yang terdiri daripada Pegawai SPR, Pegawai

Polis berpangkat Inspektor ke atas, Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seorang wakil bagi setiap calon yang bertanding.

Beliau memberitahu antara langkah yang diambil ialah memantau proses kempen berjalan lancar bagi sembilan kawasan Dun yang dikenal pasti sebagai kawasan panas, PPKPR akan dibahagikan kepada dua kawasan.

Aktiviti berkempen

“PPKPR akan menumpukan kepada perkara yang berkaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan aktiviti berkempen sama ada mempunyai permit atau tidak, bahan kempen yang dipasang serta kempen berbentuk provokasi yang menyentuh sensiviti kaum,” jelasnya.

Berkenaan dengan pengangkutan sepanjang pilihan raya, katanya, SPR berusaha mendapatkan khidmat helikopter dari Filipina dan Indonesia bagi menampung keperluan pengangkutan.

Menurutnya, pengangkutan udara dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak masih tidak mencukupi untuk menampung pengangkutan jika mengambil kira faktor pengundi yang menetap di kawasan pedalaman yang sukar di akses melalui jalan darat.

Katanya, berdasarkan pengalaman pengendalian pilihan raya negeri sebelum SPR sentiasa memerlukan bantuan negara jiran khasnya dalam menampung keperluan pengangkutan udara.

Menurutnya lagi, pihaknya juga menambah bilangan bot dan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan, selain kenderaan yang diperolehi daripada jabatan kerajaan.

“Kita masih perlu membuat tender untuk mendapatkan kenderaan tambahan daripada pihak persendirian,” jelasnya.

Wan Ahmad turut optimis peratusan pengundi pada pilihan raya kali ini akan terus meningkat berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

“Ini adalah berdasarkan kepada kesedaran yang kian meningkat di kalangan rakyat mengenai hak mengundi, malah kita berharap cuaca baik pada hari mengundi nanti,” katanya.

Hari pengundian bagi pilihan raya Dun Sarawak ialah pada 16 April 2011 manakala hari penamaan calon pada 6 April 2011.

Tiada ulasan: