Selasa, 29 Mac 2011

Pilihan raya Sarawak pengukur kepimpinan Najib

DAP dan SUPP akan bersaing di kawasan bandar untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri Sarawak akan menjadi kayu pengukur kepada Barisan Nasional (BN) sama ada program tranformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak diterima atau ditolak.

Keputusan pilihan raya itu akan menjadi asas sama ada pimpinan Najib sebagai perdana menteri boleh diterima rakyat atau sebaliknya, kata penganalisis politik tempatan, Prof Datuk Zainal Kling.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 16 April manakala hari penamaan calon pula ialah 6 April.

Ketika dihubungi hari ini, Prof Zainal berkata, jika BN menang 90 peratus dari 71 kerusi, kemungkinan besar pilihan raya umum mengejut akan diadakan.

“Kerana pilihan raya negeri Sarawak boleh dijadikan penanda aras yang terbaik berbanding dengan pilihan raya kecil,” katanya.

Menurutnya, BN dijangka akan terus memerintah Sarawak dan berpendapat lawan sebenar mereka ialah DAP dan bukannya PKR.

Beliau berkata, parti komponen BN, SUPP akan bersaing dengan DAP bagi mendapat sokongan pengundi kaum Cina terutama di kawasan bandar manakala, PKR akan menguji politik Sarawak dengan membangkitkan isu rakyat negeri itu yang tertindas.

“Mereka (PKR) hanya sebagai “pengacau” yang mahu memecahkan undi di kawasan majoriti Dayak. Kerusi majoriti Dayak adalah saingan antara PKR dengan komponen BN seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) tetapi pengundi dijangka menyokong PRS berdasarkan rekod sebelum ini.

“Hasrat PKR itu dapat dilihat dengan pelantikan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian seorang berketurunan Dayak, bekas pemimpin SNAP. SNAP bukan parti kaum Dayak tetapi pelbagai kaum seperti PKR juga.

“Tetapi dijangka akan berlaku anjakan majoriti pengundi muda kaum Dayak dari PRS tetapi tidak sampai ke tahap memenangkan PKR ,” katanya.

Prof Zainal menegaskan, PAS tidak akan memberi saingan kepada BN kerana parti Islam itu hanya mempunyai sokongan di kawasan pengundi Melayu sahaja.

Tiada ulasan: