Khamis, 31 Mac 2011

Hilangkan Rasa Takut Kepada Perasuah BN Seru Anwar

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_8086KUCHING - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan siri jelajah menemui rakyat Sarawak semalam dengan menyeru penduduk Bumi Kenyalang supaya mengatasi perasaan takut kepada golongan pemimpin rasuah dan pencuri hak rakyat dari Barisan Nasional.

Bercakap kepada hampir 500 ratus masyarakat Cina di sebuah kedai kopi di Padungan semalam, Ketua Pembangkang itu berkata perubahan di negeri yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu tidak akan berjaya dilakukan sekiranya rakyat masih berasa takut terhadap penguasa yang rakus pada hal mereka pada hakikatnya berada di pihak yang benar dan teraniaya.

"Orang jahat tak ramai, tapi ramai orang takut pada orang jahat. Orang rasuah tak ramai, tetapi mereka lakukan macam-macam. Bukan semua dalam kerajaan negeri melakukan rasuah. Tetapi kita kena tukar pemimpin-pemimpin rasuah, tukar kerajaan dan barulah negeri ini akan selamat,” kata Anwar.

Anwar menambah rakyat Sarawak tidak perlu takut kepada pemimpin BN yang rasuah dan menyeleweng tetapi sebaliknya menggunakan hak mereka untuk membuat perubahan pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan pada 16 April akan datang.

"Rakyat tidak perlu takut, Bukan kita curi duit orang. Kita tak perlu takut kepada mana-mana pihak. Orang yang mencuri balak beribu-ribu ekar tidak takut, kenapa harus kita yang takut,” tegas beliau lagi.

Beliau menegaskan keputusan pada pilihan raya negeri kali ini tidak boleh dipengaruhi oleh janji-janji manis pemimpin BN tetapi terletak di tangan pengundi Sarawak sendiri yang dahagakan perubahan.

"Percayalah, menang dan kalah bukan televisyen cakap. Bukan Menteri cakap. Bukan Perdana Menteri Najib cakap gua tolong lu, lu tolong gua, Nak menang atau kalah, rakyat putuskan." ujar Anwar kepada tepukan hadirin.

Tiada ulasan: