Sabtu, 26 Februari 2011

Syed Ibrahim tunjuk ijazah, tangkis tohmahan pembangkang

BERNAMA

TEMERLOH — Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, hari ini menjawab tohmahan pembangkang mengenai status pendidikannya dengan menunjukkan ijazah Bahasa Arab yang diperolehinya dari Universiti Al-Azhar, Mesir, kepada pemberita.

“Seminggu saya bertahan . . . saya tidak suka menunjukkan sijil (ijazah), tapi terpaksa, bukan untuk takbur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini.

Syed Ibrahim berkata beliau terpaksa berbuat demikian selepas didesak banyak pihak bagi mengemukakan bukti latar belakang pendidikannya itu.

“Saya diajar supaya tidak menuntut ilmu untuk berbangga, untuk jatuhkan orang tetapi saya dididik untuk berkhidmat dan memberi ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Parti pembangkang sebelum ini mendakwa ijazah yang dimiliki Syed Ibrahim adalah palsu kerana beliau dikatakan gagal menamatkan pengajian di university tersebut.
Syed Ibrahim, 44, menerima ijazah tersebut pada 1997.

Katanya beliau tidak pernah berasa kesal dan terkilan dengan tuduhan yang mengatakan beliau menipu berhubung kelulusan akademiknya itu.

“Saya berdoa supaya tabiat mereka yang suka melemparkan tuduhan agar dibersihkan jiwa mereka,” katanya.

Pada pilihan raya kecil ini, Syed Ibrahim berdepan calon PAS Hassanuddin Salim, 43. Pengundian ditetapkan pada 6 Mac ini.

Tiada ulasan: