Sabtu, 26 Februari 2011

Projek KL-MRT: Laporan kajian impak terhadap alam tidak lengkap

MERDEKA REWIEW

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sememangnya menyokong adanya sistem pengangkutan awam yang efektif. Akan tetapi, laporan Kajian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) untuk projek KL MRT yang dicadangkan yang telah dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah tidak lengkap dan tidak dapat membuktikan bahawa projek ini dapat memperbaiki kualiti alam sekitar di Lembah Klang.


AWER telah mengkaji laporan DEIA tersebut dan menghantar komen kepada Ketua Pengarah JAS pada 25 Februari 2011. Berdasarkan kajian AWER, DEIA projek ini tidak patut diluluskan.

Komen untama yang telah AWER hantar kepada Ketua Pengarah JAS termasuk:

(i) Konsultan EIA telah menjalankan perbandingan pilihan projek yang tidak berfungsi (non-functional project option comparison). Perbandingan pilihan projek sepatutnya seperti berikut:

  • Membandingkan LRT bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan Monorail bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan MRT bersama sistem perkhidmatan sokongannya dengan;
  • Membandingkan KTM Komuter bersama sistem perkhidmatan sokongannya.

Hanya melalui perbandingan sebegini, kita dapat memperolehi satu pilihan projek yang berfungsi.

(ii) Kriteria utama untuk pembinaan MRT ini adalah untuk memperbaiki kualiti udara berdasarkan Kajian JICA 1997 yang telah dirujuk dalam laporan DEIA ini. Akan tetapi, konsultan EIA tidak menjalankan pemodelan kualiti udara dan trafik semasa operasi MRT. Maka, konsultan EIA telah gagal untuk membuktikan bahawa kualiti udara dapat diperbaiki! Di samping itu, peningkatan kesesakan lalu lintas mempunyai kesan langsung kepada kesihatan orang ramai.

(iii) Konsultan EIA mendakwa bahawa 34,400 ton CO2 akan dapat dikurangkan setiap tahun jika projek MRT ini beroperasi. Berdasarkan kajian AWER terhadap kesesakan lalu lintas yang disebabkan oleh operasi MRT,

  • Jika 100% petrol terbazir disebabkan kesesakan lalu lintas, sebanyak 50,145 ton CO2 tambahan akan dibebaskan;
  • Jika 30% diesel dan 70% petrol terbazir disebabkan kesesakan lalu lintas, sebanyak 52,363 ton CO2 tambahan akan dibebaskan;

Tidak kira dalam kaedah pemodelan mana, kita dapat memerhati bahawa terdapat peningkatan pelepasan CO2 berbanding dengan dakwaan konsultan EIA yang dilaporkan dalam laporan DEIA. Jika hanya petrol terbazir, terdapat peningkatan pelepasan CO2 sebanyak 45.8% dan pelepasan CO2 akan meningkat sebanyak 52.2% bagi pemodelan kombinasi diesel dan petrol.

Baca: Laporan penuh di laman AWER

*Piarapakaran S (gambar kanan) ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER). Maklumat lanjut bagi komen yang telah dihantar kepada DOE boleh dirujuk di www.awer.org.my.

Tiada ulasan: