Sabtu, 26 Februari 2011

Kpg baru saksi persaingan undi Cina di Kerdau

BERNAMA

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, yang bakal menghadapi pilihan raya kecil pada 6 Mac ini mempunyai kira-kira 800 pengundi Cina, 450 orang tinggal di Kampung Baru, berhampiran bandar Kerdau.

Yang nyata walaupun bilangannya kecil namun persaingan untuk meraih undi kaum Cina di Kampung Baru Kerdau sudah pasti sukar.

Esok merupakan hari penamaan calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini harus berusaha menangani segala masalah yang dibangkitkan oleh penduduk di sini.

MCA dipertanggungjawabkan untuk meyakinkan penduduk di kampung baru ini agar menyokong BN.

"Kita sedang berusaha menyelesaikan isu kecil. Isu besar akan dibincangkan bersama timbalan perdana menteri atau perdana menteri," kata timbalan pengerusi MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun yang juga anggota exco negeri.

Isu kecil ialah menyediakan jalan raya yang lebih baik, penambahan lampu jalan dan bantuan untuk SJK (C) Kerdau manakala isu yang lebih besar ialah permintaan untuk skim rumah kos rendah di kawasan itu.

Kempen MCA untuk pilihan raya kecil itu akan diketuai timbalan presiden parti dan pengerusi MCA Pahang Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya parti itu akan melaksanakan konsep 'Kumpulan 10' atau 'G-10' di mana setiap 14 bahagian MCA di Pahang akan menjaga 10 buah rumah di kawasan itu yang mempunyai 100 keluarga.

"Kita akan mengamalkan kempen sentuhan peribadi," katanya dan menambah parti itu akan menjelaskan dengan terperinci usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyatnya serta berharap pengundi dapat menilai kerajaan pada perspektif yang lebih baik.

Liow yang juga menteri kesihatan berkata kebanyakan pengundi muda dari kampung itu sama ada tinggal di Temerloh atau Mentakab dan parti itu sedang berusaha menghubungi mereka.

Kita tidak menjangka sebarang masalah untuk mereka pulang mengundi kerana kedua-dua bandar kira-kira 20 hingga 30 kilometer sahaja," katanya.

Kawasan DUN Kerdau terletak di bawah Parlimen Kuala Krau, dua lagi ialah Jenderak dan Jengka di mana Kuala Krau, Jenderak dan Jengka diwakili kerusi BN.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohd Said berkata RM120,000 telah diperuntukkan untuk SJK (C) Kerdau untuk menaiktaraf kemudahan sekolah termasuk makmal komputer.

Beliau juga berkata peruntukan sebanyak RM950,000 telah digunakan untuk pelbagai projek di kawasan DUN Kerdau termasuk dewan komuniti (RM300,000) dewan bola keranjang tertutup (RM200,000), pejabat jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (RM100,000) dan menaiktaraf dua jalan utama (RM300,000) serta pembinaan tembok penahan untuk loji rawatan air di Taman Kerdau 2 (RM50,000).

"Kita tidak pernah kalah di kerusi (Kerdau) dan berharap untuk mempertahankan rekod itu," katanya.

Pada April 2000, pilihan raya kecil juga diadakan di kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sanggang, selepas Adun Datuk Abdullah Kia meninggal dunia akibat serangan angin ahmar. Datuk Redzwan Harun mengekalkan kerusi untuk BN dengan majoriti 1,963 undi.

Berikutan persempadanan semula pada 2003, DUN Sanggang terbahagi dua kepada Kerdau dan Jengka.

Pengerusi DAP Pahang dan Adun Triang Leong Ngah Ngah mengakui sukar untuk menawan Kerdau tetapi parti itu akan membantu rakan pakatan, PAS dalam pilihan raya kecil itu.

"Sukar untuk menang tetapi kita akan memberi tentangan untuk mengurangkan majoriti BN," katanya.

BN memperolehi majoriti 1,615 undi dengan kemenangan calonnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada pilihan raya umum 2008, menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim.

Kematian Zaharuddin, 63, pada 12 Februari lepas menyaksikan pilihan raya kecil di DUN Kerdau yang mempunyai 8,999 pengundi berdaftar, 15 daripadanya adalah pengundi pos.

BN menamakan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang dan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, sebagai calon pilihan raya kecil itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim, 43, diumumkan sebagai calon parti itu yang merupakan bekas calon bagi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.



Tiada ulasan: